Anda di sini

ICCM lonjak dagangan dua hala Malaysia-Ireland

Advertisement
 Ong (empat kanan) bersama dengan Michael (tiga,kiri) dan tetamu terhormat bergambar semasa pelancaran Dewan Perniagaan Ireland di Malaysia, malam kelmarin. — Gambar Bernama
UNTUK KENANGAN: Ong (empat kanan) bersama dengan Michael (tiga,kiri) dan tetamu terhormat bergambar semasa pelancaran Dewan Perniagaan Ireland di Malaysia, malam kelmarin. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala Malaysia-Ireland bakal menyaksikan pertumbuhan lebih kukuh menerusi pelancaran Dewan Perniagaan Ireland di Malaysia (ICCM), kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

ICCM, sebelum ini dikenali Rangkaian Perniagaan Ireland Malaysia (MIBN), ia dilancarkan Ong dalam satu majlis di sini, malam Khamis.

Menurut beliau langkah itu dilihat bukan hanya membantu meningkatkan profil ahli ICCM dan ahli perniagaan Ireland di Malaysia, tetapi dijangka dapat memperluaskan lagi peluang kepada pemain utama perniagaan Malaysia menembusi pasaran berpotensi di Ireland.

“Ia satu langkah penting kerana penubuhan sebuah dewan perniagaan boleh mengangkat martabat sesebuah organisasi perniagaan. Dengan pelancaran itu, secara automatik menganggotai Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI).

“Ini juga petanda baik dan dari sini, Malaysia berharap untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, di samping menggalakkan lebih ramai pemain tempatan melihat Ireland sebagai prospek yang baik.”

Ong berkata demikian kepada Bernama di luar acara perasmian ICCM dan pelancaran logo baharu, dianjurkan Duta Besar Ireland ke Malaysia, Éamon Hickey.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pertanian, Makanan dan Marin Ireland, Michael Creed yang kini sedang dalam misi perdagangan ke Malaysia dan Indonesia.

Mengulas mengenai lawatan Creed serta seminar ‘Bahan Tenusu Lestari Malaysia-Ireland – Bord Bia’ dan sesi perbincangan perniagaan yang diadakan sebelah pagi, Ong berkata industri agro merupakan satu lagi bidang berpotensi yang boleh dimanfaatkan Malaysia dan bekerjasama dengan Ireland untuk meningkatkan import.

“Banyak kita boleh belajar dengan Ireland, bagaimana negara itu mengembangkan industri tenusu. Memandangkan Malaysia mengimport banyak susu dan lembu, ia boleh menjadi satu lagi cabang pasaran.”

Pada masa sama, ia juga peluang baik bagi Malaysia mempelajari bagaimana Ireland berjaya memajukan sektor pertanianya, ujar beliau.

Sementara itu ICCM yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan dan swasta Malaysia, berharap dapat menjadi perantara bagi syarikat Ireland, jika mereka mahu beroperasi atau merancang membina perniagaan di negara ini.

Terdahulu, Creed merasmikan seminar Bord Bia yang mengumpulkan lebih 70 pembeli produk tenusu, pengimport dan pengusaha makanan tenusu Malaysia untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan industri berkenaan.

Seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai Ireland sebagai sumber tenusu lestari sambil meningkatkan pemahaman industri terhadap pasaran Malaysia. — Bernama

Advertisement