TANGGA batu curam 75 anak tangga di kawasan Georgetown, Washington DC ibu kota Amerika Syarikat (AS) adalah sebahagian daripada legenda Hollywood — dalam ‘The Exorcist,’ seorang paderi terjatuh lalu mati dalam salah satu babak paling diingati dalam filem itu.
Sekarang, apa yang digelar ‘Tangga Exorcist’ itu mungkin akan menjadi satu mercu tanda bersejarah.
Andrew Huff, yang menggelar dirinya ‘pelajar genre seram,’ adalah peminat nombor satu ‘The Exorcist,’ yang diterbitkan pada 1973, dua tahun selepas buku laris tulisan William Peter Blatty dengan nama yang sama.
Pada 2015, beliau menganjurkan satu majlis kecil yang dihadiri Blatty, seorang graduan Universiti Georgetown, dan pengarah filem, William Friedkin apabila satu plak menunjukkan peranan tangga seram dalam sejarah filem itu dibina.
Blatty menulis lakon layar untuk filem tersebut, yang mengisahkan usaha untuk menyingkirkan hantu dalam badan kanak-kanak perempuan yang telah dirasuk menerusi perbuatan menghalau hantu yang dilakukan oleh dua paderi.
Kini, 45 tahun selepas filem itu kali pertama ditayangkan, Huff — yang mana tugas harian beliau ialah dalam bidang perhubungan komuniti di sebuah universiti tempatan — mengetuai usaha untuk menjadikan kawasan itu diklasifikasikan sebagai satu mercu tanda.
“Ia selayaknya,” kata Huff kepada AFP.
“Apabila ada kawan saya datang, saya lebih suka membawa mereka ke sini berbanding ke Capitol atau Rumah Putih, terutama ketika ini. Ia sudah menjadi tarikan pelancongan untuk bandar raya ini.”
Sebuah persatuan komuniti membuat petisyen kepada lembaga semakan penjagaan sejarah untuk menjadikan anak tangga itu sebagai mercu tanda — sebahagiannya untuk mengelak pembinaan bangunan kondominium baharu berdekatan daripada merosakkan kawasan itu.
Anak tangga itu dibina pada 1895, bersebelahan dengan gudang kereta troli bata yang dikenali sebagai ‘Car Barn.’
Dalam babak terkenal di anak tangga itu, Paderi Damien Karras melompat dari sebuah tingkap dan jatuh di tangga tersebut apabila beliau dirasuk oleh semangat yang pada asalnya menghantui kanak-kanak perempuan, Regan.
“Babak itu terpaksa dirakam sebanyak tiga kali,” jelas Huff, yang berkata beliau sudah menonton filem itu kira-kira 100 kali.
“Jika anak tangga itu dialas dengan tikar getah setengah inci sekali pun, ia masih terlalu sukar untuk pelakon lagak ngeri.”
Satu keputusan daripada lembaga pemuliharaan sejarah mengenai perkara itu dijangka diketahui pada 15 November ini. — AFP