Anda di sini

Noel bina kreativiti, pupuk disiplin menerusi tarian

Advertisement
 Noel Thomas memperagakan baju Melayu.
SEGAK: Noel Thomas memperagakan baju Melayu.

SENI tarian tradisional Melayu memiliki keistimewaan tersendiri bermula daripada rentak, lenggok dan gaya si penari yang pasti membuatkan penonton memperoleh kepuasan tersendiri.

Gerak tarinya juga sa-ngat teratur dan menawan, bahkan pergerakan badan pula begitu gemalai ketika dipersembahkan.

Berlainan agama dan bangsa, tidak menghalang Noel Thomas untuk berkecimpung secara aktif dalam bidang tarian tradisional Melayu.

Anak kelahiran Rumah Imau, Jalan Kubong, Limbang berusia 22 tahun ini bukan sahaja sopan santun, malah tutur katanya juga persis orang zaman dahulu.

 Noel (tiga kanan) bersama kumpulannya semasa mengadakan persembahan.
MENARIK: Noel (tiga kanan) bersama kumpulannya semasa mengadakan persembahan.

Menyingkap penglibatan remaja ini yang mesra disapa Noel dalam bidang tarian, minat beliau agak berbeza dengan kebanyakan rakan seusianya yang lain.

“Saya amat meminati tarian tradisional Melayu dan klasik Melayu,” ujar beliau ketika dihubungi semalam.

Noel yang berbangsa Iban memberitahu, tarian tradisional Melayu sangat unik dan memerlukan minat serta kepakaran yang tinggi untuk menguasainya.

 Noel bersama kumpulan penari sedang mengadakan latihan.
LATIHAN: Noel bersama kumpulan penari sedang mengadakan latihan.

Walaupun berasa bimbang berdepan kesukaran untuk menguasai setiap rentak dan langkah dalam seni tarian berkenaan pada awal pembabitannya, lama-kelamaan perasaan itu hilang dengan sendirinya.

“Jujurnya, seni tari tradisional Melayu ini lebih dekat dengan hati saya. Jadi, adalah penting untuk saya mempelajari serta mendalaminya. Bagi saya, tarian ini menggambarkan kelembutan dan kehalusan budaya.

“Sejak di bangku sekolah lagi, saya mula berjinak-jinak dengan bidang tarian dan sehingga kini saya masih aktif menari,” kata pelajar Tahun Kedua Sarjana Muda Tari, Universiti Malaya itu.

Noel yang merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik berkata, sejak zaman persekolahan hingga melanjutkan pelajaran, dia sering mengikuti banyak persembahan tarian termasuk di beberapa bahagian negeri ini.

Katanya, beliau banyak menimba pengalaman mempelajari tarian tradisional menerusi persembahan yang disertainya dan berkenalan dengan penggiat seni lain, tidak kira dalam seni drama ataupun muzik.

Ujar beliau, dia bertuah kerana dikelilingi rakan-rakan yang sangat membantu dan tidak pernah jemu mengajarnya untuk menguasai tarian tradisional berkenaan.

Katanya, disebabkan sangat meminati bidang kesenian dan suka mencuba sesuatu yang baharu, dia mencabar dirinya untuk mempelajari tarian berkenaan, justeru secara tidak langsung pembabitannya itu melatih dirinya menjadi seorang yang kreatif dan berdisiplin.

 Noel bersama rakan-rakannya mengadakan latihan.
FOKUS: Noel bersama rakan-rakannya mengadakan latihan.

“Disiplin penting dalam mempelajari setiap persembahan tarian tradisional dan kekuatan mental fizikal amat diperlukan bagi memastikan sesuatu yang kita lakukan berjaya,” jelas beliau.

Semasa di universiti, Noel juga pernah menjadi penari ganti kepada artis popular seperti Nabila Razali, Amalina, Wany Hasrita, Azharina, Farahdhiya dan Syamel.

“Untuk mahir dalam se-sebuah tarian terutamanya tradisional, seseorang itu perlu mengetahui asal-usul tarian, pengasas dan maksud di sebalik setiap pergerakan.

“Pada pendapat saya, sesebuah tarian perlu dipersembahkan secara asli tanpa perlu mengubah pergerakan dan bunyi.

 Noel sedang mengikuti persembahan.
BERBAKAT BESAR: Noel sedang mengikuti persembahan.

“Namun demi kelangsungan tarian ini, kita juga terpaksa memasukkan bunyi moden supaya mampu menarik minat masyarakat,” katanya.

Menceritakan perancangan masa depannya, Noel memasang impian untuk bergiat dalam seni tarian tradisional yang terdapat di negara-negara lain.

“Saya berharap agar hasrat saya ini akan menjadi kenyataan suatu hari nanti,” jelas beliau lagi.

  • oleh
  • Advertisement