Anda di sini

Mahkamah tetap 8 Jan 2019 pengurusan kes rayuan Najib terhadap perintah larangan

Advertisement
 Najib bersalaman dengan ratusan penyokongnya yang menunggu beliau di lobi sebaik keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.  — Gambar Bernama
MASIH DISANJUNGI: Najib bersalaman dengan ratusan penyokongnya yang menunggu beliau di lobi sebaik keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi perintah larangan untuk menghalang media membincangkan merit kes jenayahnya, telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 8 Jan tahun depan.

Kes itu didengar semalam di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Zulhelmy Hasan untuk pengurusan kes dan mahkamah menetapkan tarikh tersebut bagi pengurusan kesnya itu.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed berkata perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes semalam untuk mengetahui sama ada keputusan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi diterima.

Beliau berkata peguam yang mewakili Najib memberitahu timbalan pendaftar penghakiman itu diterima kelmarin.

Budiman berkata tarikh rayuan kes Najib itu dijangka ditetapkan pada tarikh pengurusan kes seterusnya.

Pada 10 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Najib bagi perintah larangan itu selepas mendapati permohonan tersebut sebagai tidak kukuh.

Najib, 65, menghadapi tujuh pertuduhan jenayah melibatkan dana milik SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, iaitu membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Beliau juga memohon dibicarakan pada 20 September lepas terhadap 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya.

Pada 25 Oktober 2018, Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah menghadapi enam tuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan berjumlah RM6.6 bilion di Mahkamah Sesyen.

Turut hadir pada pengurusan kes itu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan dan peguam Syahirah Hanipah, yang mewakili Najib. — Bernama

Advertisement