Anda di sini

Lelaki tidak mengaku salah tuduhan menipu

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas enam pertuduhan menipu melibatkan bayaran menyertai kursus dan jaminan pekerjaan sebagai guru tadika.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menetapkan tarikh perbicaraan pada 8,12 dan 15 November terhadap Mexnuel Pinus, 26, yang diwakili peguam Arthur Bonnie.

Pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa menipu tiga wanita Chong Pui Ying, 21, Crystalyn Ankim, 23, dan Micihi Peter, 30, masing-masing menyerahkan wang sebanyak RM1,640, RM2,130 dan RM1,990.

Keempat dan keenam tertuduh menipu seorang lelaki Zamri Ismail, 24, dan dua wanita Melinah Bonie, 25, dan Rozilah Mojingkin, 29, masing-masing membayar RM1,830, RM2,250 dan RM2,215.

Tertuduh memperdayakan semua mangsa menyertai kursus di Pusat Pengambilan Pelajar Borneo dan Pusat Pendidikan Borneo, serta memberikan jaminan pekerjaan sebagai guru tadika.

Kesalahan dilakukan antara November tahun lalu hingga Mei tahun ini di Universiti Plaza, Jalan Sulaman, di sini.

Jika sabit salah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, penjara minimum selama tempoh setahun dan maksimum 10 tahun dan dikenakan sebatan, atau denda.

Semasa memohon ikat jamin, Arthur menyatakan anak guamnya seorang penduduk tempatan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Tambahnya semua mangsa berkenaan sudah menyertai kursus berkenaan.

Stephanie membenarkan ikat jamin diberikan sebanyak RM1,500 untuk setiap pertuduhan terbabit yang dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Pegawai Pendakwa Insp Mohd Rasydan Jasni mewakili pihak pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement