Anda di sini

Halangan salah, 11 lelaki dibenarkan ikat jamin

Advertisement
 Kesemua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah semalam.
DIIKAT JAMIN: Kesemua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah semalam.

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan 11 lelaki bebas dengan ikat jamin masing-masing RM500 dengan dua penjamin atas pertuduhan melakukan halangan salah terhadap seorang pekerja kuari.

Pesuruhjaya kehakiman Lim Hock Leng membenarkan kesemua bebas dengan ikat jamin selepas mendengar permohonan pihak pembelaan Simon Siah dan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zulfadhli Tuah.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Mukah setiap bulan.

Tertuduh yang berusia antara 25 hingga 61 tahun didakwa mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Seksyen 341 ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.

Terdahulu kesemua tertuduh dihadapkan di Mahkamah Sesyen Mukah kelmarin dan mengaku tidak bersalah.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka bebas dengan ikat jamin RM4,000 berserta dua penjamin.

Siah dalam pada itu mempertikai ikat jamin yang dikenakan memandangkan hukuman denda maksimum yang boleh dikenakan hanya RM1,000.

Beliau turut memberitahu kesemua tertuduh adalah petani dan penduduk kampung yang bergaji hari.

Sehubungan itu, beliau mahu mahkamah menyemak semula ikat jamin dan mengenakan ikat jamin RM500 bagi setiap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kuari di Balingian pada 8 Oktober 2018, kira-kira jam 9.40 pagi.

Kesemua mereka ditahan pada 26 Oktober lepas.

  • oleh
  • Advertisement