
KOTA KINABALU: Seorang bomoh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap seorang pelajar berusia 11 tahun.
Oleh itu hakim Ainul Mohd Shahrin menetapkan pengurusan kes pada 22 November terhadap Mahmuda Ba’dulu, 68, yang tidak diwakili peguam.
Tertuduh didakwa mencium dan meraba badan mangsa semasa memandikan dengan air jampi, pada 31 Ogos jam 2 petang di dalam bilik mandi sebuah rumah kampung, Kota Belud.
Jika sabit salah mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, boleh dikenakan penjara selama 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh.
“Tertuduh bukan seorang warga negara dan tidak memiliki dokumen sah. Jabatan Imigresen mengesahkan rekod tertuduh tidak wujud,” katanya.
Selain itu tertuduh mendakwa boleh menjadikan mangsa seorang yang pintar dengan cara memandikan air jampi.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang ditangkap polis pada 18 Oktober, terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.