Anda di sini

Bekas jurulatih pasukan terjun kebangsaan diperintah bela diri tuduhan rogol

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih pasukan terjun kebangsaan Huang Qiang diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas pertuduhan merogol seorang atlet penerjun wanita, tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan  membebaskan Huang Qiang, 36, daripada pertuduhan itu pada 9 April lepas.

Dalam penghakimannya hakim itu berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Huang Qiang dan kemudiannya membatalkan perintah melepaskan dan membebaskan lelaki itu oleh Mahkamah Sesyen.

“Oleh itu responden (Huang Qiang) diperintah untuk membela diri atas pertuduhan yang dituduh ke atasnya,” katanya, dan menambah, hakim Mahkamah Sesyen Noradura Hamzah telah terkhilaf dalam membuat keputusan terhadap Huang Qiang pada akhir kes pendakwaan.

Hakim itu juga berkata keterangan dalam aplikasi WeChat dan saksi-saksi pendakwaan boleh diterima dan ia tidak memprejudiskan responden tetapi untuk membuktikan terdapat keterangan yang serupa.

Huang Qiang, yang diwakili peguam Hisham Md Nen didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 20 tahun 1 bulan di dalam gimnasium kering, Gimnasium Terjun, Kompleks Akuatik Sukan Negara, Kompleks Sukan Bukit Jalil pada jam 5.30 petang, 26 September 2017.

Lelaki itu yang mendapat taraf warganegara Malaysia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen kemudiannya menetapkan dua hari iaitu 21 dan 22 Nov untuk Huang Qiang membela diri dan membenarkannya diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas mewakili pihak pendakwaan. — Bernama

Advertisement