
MELAKA: Seorang bapa tiga anak dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki dan menyebabkan kedua-dua mangsa melihat video lucah.
Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Zhafran Bakar, 31, seorang peniaga buah selepas dia mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.
Lelaki itu, yang tidak diwakili peguam dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, dan penjara lima tahun bagi setiap dua pertuduhan menyebabkan dua remaja itu melihat video lucah. Mahkamah memerintah kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap 21 Okt lepas dan ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 10 tahun dan empat sebatan.
Tertuduh menghadapi empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 14 dan 15 tahun di sebuah hotel di Batu Berendam di sini, antara jam 1.05 pagi dan 4.30 pagi, 21 Okt lepas.
Keempat-empat pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan.
Md Zhafran didakwa dua lagi pertuduhan iaitu menyebabkan dua remaja itu melihat rakaman video berunsur lucah di dalam telefon bimbit tertuduh di sebuah kereta Perodua Kenari di kawasan Pasar Borong Batu Berendam di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, hari sama.
Dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15(e) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.
“Ketika kejadian tertuduh menawarkan habuan kepada dua remaja iaitu bekerja separuh masa, belanja makan di restoran makanan segera (McDonald’s) dan memberi telefon bimbit sekiranya mangsa bersetuju mengikutnya ke hotel. Bapa tiga anak sepatutnya melindungi dan tidak berbuat demikian,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung isteri dan anak-anak yang masih kecil.
Mengikut fakta kes, sekitar jam 5 petang pada 20 Okt lepas, kedua-dua mangsa yang merupakan sepupu didatangi tertuduh untuk diajak bersembang ketika berada di sebuah rumah flat, dan remaja itu diberikan rokok selain ditawarkan bekerja separuh masa.
Kemudian, tertuduh pada sebelah malam menghubungi kedua-dua mangsa menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ untuk mengajak berjumpa dan belanja makan sebelum dibawa ke bilik hotel di Batu Berendam.
Salah seorang mangsa mula menangis ketika dalam perjalanan ke hotel apabila tertuduh memujuk dengan berkata ‘boleh tak abang try kamu? boleh tak? boleh lah’ dan menawarkan telefon bimbit sekiranya mereka bersetuju. — Bernama