Anda di sini

Usahawan kraf tangan Sarawak hasil lukisan atas daun kering

Advertisement
 Albot  menunjukkan hasil lukisan corak motif Sarawak pada topi yang diperbuat daripada kulit kayu dengan hanya menggunakan sebatang pemberus lukisan dan dakwat hitam di Festival Kraf Sarawak semalam. — Gambar Bernama
KREATIF: Albot menunjukkan hasil lukisan corak motif Sarawak pada topi yang diperbuat daripada kulit kayu dengan hanya menggunakan sebatang pemberus lukisan dan dakwat hitam di Festival Kraf Sarawak semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Melukis di atas sebuah kanvas itu adalah perkara biasa, tetapi jika seseorang itu boleh melukis pada daun kering dengan menghasilkan lukisan corak, khasnya motif Sarawak, ia memang luar biasa.

Usahawan kraf tangan tempatan, Albot Gudang, 46, yang menganggap dirinya sebagai ‘pelukis etnik’ sedang mencuri tumpuan apabila menunjukkan kebolehannya melukis pada sekeping daun kering itu tanpa menggunakan sebarang peralatan canggih.

Sentuhan lelaki berketurunan Bidayuh dari Kampung Bobak, Singgai, daerah Bau itu terhadap lukisannya dengan sekadar menggunakan sebatang berus lukisan dan dakwat hitam memang cukup unik dan menarik.

Bahkan lukisan yang diolahnya pada dompet, topi dan beg tangan yang diperbuat daripada kulit kayu bukan saja kelihatan menawan, malah ia nampak seolah-olah lukisan ‘hidup’.

“Kraf tangan yang dihasilkan oleh saya adalah daripada sumber alam seperti kulit kayu, daun kering, tempurung kelapa dan kulit kerang digunakan untuk menjadi kraf tangan dan lukisan corak motif Sarawak,”  katanya kepada Bernama di Festival Kraf Sarawak di Tebingan Kuching di sini semalam.

Albot berkata beliau turut menerima tempahan daripada ‘The Ranee Gallery’ dan ‘EO Gallery’, yang merupakan butik fesyen di Sarawak, seperti kraf tangan jaket dan dompet yang diperbuat daripada kulit kayu untuk dipasarkan di galeri dan untuk pertunjukan fesyen.

Harga jualan kebiasaannya tidak mencecah lebih daripada RM100.  

Katanya semasa membuka gerai jualan di festival tahun ini, ramai pengunjung yang datang membeli bukan sahaja daripada warga tempatan.

“Malah ramai  juga daripada pengunjung dan peserta Regata Sarawak dari Singapura dan Thailand kerana mereka amat tertarik dengan hasil kraf tangan dan lukisan Sarawak pada kulit kayu yang dilukis padanya,” tambahnya.

Festival Kraf Sarawak 2018 yang berlangsung di Tebingan Kuching dari 26 Oktober hingga 4 November ini adalah sempena Regata Sarawak 2018. — Bernama

Advertisement