Anda di sini

REHDA jangka penjimatan kos dengan pengecualian SST

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menjangkakan sedikit penjimatan dalam kos pembangunan susulan langkah kerajaan mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan asas dan perkhidmatan pembangunan bagi mengurangkan harga rumah.

“Kami menjangka penjimatan antara 2.5 hingga 5.0 peratus, bergantung kepada jenis pembangunan. Namun ia hanya akan terpakai kepada projek-projek baharu sahaja kerana harga bagi projek semasa era Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dipersetujui kontraktor dan sedang berada di beberapa peringkat untuk disiapkan,” kata Presidennya Datuk Ir Soam Heng Choon dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, selain diskaun dan rebat lain yang ditawarkan kebanyakan pemaju berikutan pasaran yang lemah bagi pelancaran baharu, pembeli rumah berharap mendapat sekurang-kurangnya harga lima peratus lebih rendah bergantung kepada lokasi dan jenis produk.

Dalam satu kenyataan berasingan portal hartanah dalam talian, PropertyGuru Malaysia mencadangkan lebih banyak organisasi meningkatkan dan memperkasakan rakyat Malaysia menerusi kemudahan semakan kredit yang lebih mudah untuk menilai nisbah khidmat hutang (DSR) dan Jumlah Gadaian Yang Layak.

Ia berkata semakan tersebut seharusnya diberikan secara percuma kepada seluruh rakyat Malaysia.

PropertyGuru turut mencadangkan agar kerajaan membuka lebih banyak tanah rizabnya untuk pembangunan yang mana kesemua jualan tanah dibuat menerusi tender terbuka, dan mencontohi amalan terbaik berkaitan ambang yang lebih rendah bagi jualan en-blok dan menggalakkan pembangunan semula bangunan lama dan aset-aset bagi rumah mampu milik.

“Kadar faedah bagi pinjaman perumahan juga perlu disemak semula. Kami menyarankan pengurangan 0.5 hingga 1.0 peratus daripada kadar faedah untuk pemilik rumah kali pertama dengan julat harga tertentu serta pengurangan kos pendahuluan meliputi yuran guaman dan duti setem,” kata portal hartanah itu.

Sementara itu, PropertyGuru menggesa organisasi dan syarikat senaraian awam memperkenalkan skim perkongsian keuntungan dan menyediakan insentif seperti pinjaman perumahan dan pembiayaan wang pendahuluan untuk membantu pekerja memiliki rumah.

Ia turut mencadangkan rumah dibina sebagai rumah separa binaan yang membolehkan fleksibiliti dalam menyesuaikan penggunaan ruang dan susun atur selain menyumbang kepada kos pembinaan yang lebih rendah serta menjimatkan. — Bernama

Advertisement