Anda di sini

Ketelusan, kebertanggungjawaban lebih tinggi perlu bagi pembaharuan GLC

Advertisement
 Zeti (dua kiri) menyampaikan ucapan dalam agenda ekonomi pada Forum Ekonomi Belia 2018 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
AGENDA: Zeti (dua kiri) menyampaikan ucapan dalam agenda ekonomi pada Forum Ekonomi Belia 2018 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi amat diperlukan dalam usaha pembaharuan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata Felow Kanan, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Prof Dr Edmund Terence Gomez semalam.

Beliau mempersoalkan mengapa pembaharuan GLC masih belum dimulakan di samping membangkitkan ketiadaan langkah penyusunan semula GLC antara kementerian.

“Kita kini dalam tempoh enam bulan di bawah pentabiran (kerajaan baharu). Saya berpendapat sejak wujudnya GLC, ia adalah satu masalah besar dalam ekonomi. GLC merupakan perkara pertama yang perlu ditumpukan menerusi pendekatan memperkenalkan pembaharuan.

“Mengapa mereka tidak memperkenalkan pembaharuan setelah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menyifatkan GLC sebagai ‘monster’,” katanya kepada pemberita di luar Forum Ekonomi Belia 2018 di sini, semalam.

Pada April tahun ini, Dr Mahathir berkata GLC telah berkembang menjadi ‘monster’ dan tidak memenuhi matlamat asal yang dihasratkan, iaitu mengurangkan jurang ketaksamaan antara golongan kaya dan miskin.

Beliau juga berkata, GLC ditubuhkan untuk memastikan dana kekal berada dengan mereka selain memegang saham bagi orang Melayu, namun tanpa penyeliaan yang sepatutnya, ia kini menjadi ‘monster’.

Menurut Edmund, kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas mengapa GLC ditubuhkan.

“Bagi saya, banyak yang ditubuhkan untuk mengamalkan kuasa naungan dan politik naungan.

“GLC telah menjadi proses penting di mana anda boleh menyalurkan konsesi dan pemerolehan yang secara jelasnya memerlukan ketelusan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan penyusunan semula GLC antara kementerian seperti Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Mengapa syarikat di bawah MoF perlu dipindahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi? Mengapa perlunya beberapa GLC di bawah MoF diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dari sudut ini, saya bercakap secara khusus mengenai Khazanah. Mengapa rombakan ini berlaku?

“Kita tidak tahu siapa sebenarnya yang telah dipindahkan dan ke mana. Mengapa mereka berahsia mengenai perubahan GLC antara kementerian dan siapa yang memutuskan GLC mana dipindahkan ke kementerian mana? Adakah menteri tahu GLC mana yang diletakkan di bawah portfolio mereka?

“Semua ini adalah soalan penting,” katanya. — Bernama

Advertisement