Anda di sini

Hati-hati melabur dalam mata wang kripto

Advertisement

SHAH ALAM: Orang ramai dinasihatkan supaya bersikap lebih berhati-hati dan membuat penelitian penuh apabila melabur dalam pelaburan mata wang kripto.

Hakim Daerah, Mahkamah Daerah Amerika Syarikat bagi Maryland, Paul Grimm berkata penting untuk orang ramai mengetahui bahawa mata wang tersebut tidak disokong oleh kepercayaan penuh dan kredit kerajaan.

Beliau berkata, orang ramai perlu berhati-hati menilai risiko berkaitan urus niaga mata wang digital tersebut.

“Sekiranya anda berhasrat menjadikan mata wang kripto sebagai pelaburan, anda seharusnya menjalankan penelitian terperinci mengenai bagaimana mata wang itu dinilaikan, turun naik nilainya dan bagaimana menguruskan risiko berkaitan pelaburan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan ramai rakyat Malaysia mengenai pelaburan dalam mata wang digital memandangkan ia tidak sah di sisi undang-undang atau dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Bank pusat telah menjelaskan bahawa perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan amalan pasaran berhemat, yang terpakai kepada institusi kewangan dan ia dikawal selia.

Grimm berkata semua pihak perlu memahami bagaimana nilai turun naik mata wang kripto, di mana pelabur harus membeli mata wang itu sekiranya nilainya meningkat untuk mendapatkan pulangan yang baik, dan bukan sebaliknya.

“Mata wang kripto tidak disokong oleh sistem perbankan nasional dan tiada pengawal selia boleh mengekang atau menggalakkannya dengan dasar pemantauan pengawalseliaan yang akan menjejaskannya.

“Ia wujud dalam pasaran yang tertakluk kepada turun naik yang tidak dikawal oleh bank pusat secara profesional,” katanya.

Grimm merupakan antara penceramah di forum bertajuk ‘Cybersecurity in a Digital Era of Human Security’ anjuran Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara di sini, kelmarin. — Bernama

Advertisement