Anda di sini

Mentor 7 kembali hangatkan malam minggu penonton TV3, Ahad ini

Advertisement
 

PROGRAM realiti nyanyian TV3, Mentor kini kembali untuk musim ketujuh! Mentor 7 memperkenalkan barisan tenaga pembimbing baharu yang luar biasa, hebat dan versatil iaitu Datuk Syafinaz Selamat, Aizat Amdan, Hafiz Suip dan Siti Nordiana.

Para mentor ini akan memastikan protégé di bawah sayap mereka bersedia menjelang konsert mingguan.

Mula bersiaran pada Ahad ini, 28 Oktober 2018 selama dua jam bermula 9.00 malam sehingga 11.00 malam, Mentor 7 pastinya menggegarkan industri hiburan tanah air dengan aura yang dibawa oleh pendatang-pendatang baharu ini.

Ditambah pula dengan kebijaksanaan mentor masing-masing dalam mengolah bakat-bakat yang dahagakan kemenangan mutlak.

12 bakal protege telah dipilih bagi menyertai Mentor 7 sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung September lalu.

Sesi uji bakat yang diadakan secara berasingan selama empat minggu bermula di Sabah pada Ogos, diikuti Datuk Syafinaz pada 8-9 September, Aizat Amdan pada 15-16 September, manakala Hafiz Suip pada minggu seterusnya dan terakhir, Siti Nordiana.

Episod pertama Mentor 7 pada Ahad ini akan menyiarkan sedutan sepanjang tempoh uji bakat berlangsung. Suka dan duka peserta yang hadir seawal jam 9.00 pagi, kisah di sebalik tabir Mentor 7 dan reaksi para mentor dalam membuat pilihan.

Konsert mingguan Mentor 7 bermula pada episod kedua iaitu pada 4 November 2018 dan dihangatkan dengan pemilihan protégé oleh mentor masing-masing.

Dua protégé akan dipilih oleh setiap mentor dalam konsert minggu pertama (episod ke-2) dan konsert minggu kedua (episod ke-3) sejurus menyingkirkan seorang peserta yang gagal mendapat tempat bersama mentor masing-masing menjadikan jumlah protégé yang bertanding ke peringkat seterusnya seramai lapan orang.

Mentor 7 akan diterajui oleh dua nama hebat dalam bidang pengacaraan, Nana Mahazan dan Shuk Sahar diiringi Sarancak di belakang tabir. Ketiga-tiga susuk berkaliber ini akan memastikan perjalanan konsert saban minggu lancar dan menghiburkan.

Tidak lengkap program realiti nyanyian tanpa kehadiran juri. Tiada yang lebih layak untuk menghakimi persembahan para protégé selain Datuk Wah Idris, komposer tersohor Malaysia. Berkelulusan Berkeley College of Music, Boston, Datuk Wah Idris  berkesempatan meluangkan masa beliau setiap minggu untuk bersama para mentor dan protégé dalam perjalanan mereka mempelajari selok belok bidang nyanyian professional.

Selain Datuk Wah Idris, terdapat seorang lagi juri yang akan berganding bahu namun ianya masih rahsia.

Pemarkahan adalah berdasarkan penjurian oleh juri tetap (50%), undian atas talian di laman web www.xtra.com.my (30%) dan juri awam (20%).

Mula bersiaran musim pertama pada 2005, kini Mentor terus berdiri teguh dalam melahirkan bintang - bintang seperti Aiman Hakim, Hael Husaini, Anas Ridzuan, Shila Zikir, Sandra Dianne, Fiq Halim, Salma dan Black.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia.

Advertisement