Anda di sini

Tenaga kerja mahir amat diperlukan di Sarawak

Advertisement
 Dr Rundi (dua kanan) serta Majang (empat kiri), Jamali (kanan) mendengar penerangan daripada pelajar KV Bintulu mengenai fungsi hasil ciptaan mereka berupa peralatan ‘Goat Counting System (GCS)’ semasa melawat gerai pameran Karnival KV Bintulu semalam.
BERMANFAAT: Dr Rundi (dua kanan) serta Majang (empat kiri), Jamali (kanan) mendengar penerangan daripada pelajar KV Bintulu mengenai fungsi hasil ciptaan mereka berupa peralatan ‘Goat Counting System (GCS)’ semasa melawat gerai pameran Karnival KV Bintulu semalam.

BINTULU: Tenaga kerja mahir amat diperlukan di Sarawak yang mengalami tranformasi pembangunan pesat dalam industri berat terutama di Taman Perindustrian Samalaju di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menteri Utiliti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kepesatan pembangunan industri di negeri ini terutama di Bintulu wajar dibanggakan tetapi tidak harus dilihat sahaja sebaliknya penglibatan komuniti amat penting.

“Tanpa penglibatan tersebut, pembangunan pesat industri itu tidak akan membawa makna bahkan sekiranya tercicir dan gagal komuniti tidak harus menyalahkan orang lain,” ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Kolej Vokasional (KV) Bintulu di dewan kolej itu semalam.

Justeru katanya, komuniti setempat perlu merebut peluang dan bersedia mempelajari pelbagai kemahiran yang dapat memenuhi keperluan tenaga kerja industri tersebut lebih-lebih lagi negeri ini tidak mahu terlalu bergantung kepada tenaga kerja luar.

Beliau mengingatkan komuniti agar tidak bersikap ambil mudah dengan membiarkan peluang dan kewujudan industri di sini terlepas begitu sahaja namun menghargai institusi kolej vokasional yang ada dalam melahirkan ramai tenaga mahir dan separa mahir untuk memenuhi keperluan itu.

Katanya, lebih 900 pelajar kolej vokasional yang belajar dalam pelbagai kemahiran perlu menggunakan kemahiran mereka untuk memajukan diri di samping berkongsi ilmu dengan orang lain memandangkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang baharu perlu diwujudkan, sekali gus menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Persepsi negatif orang awam termasuk ibu bapa mengenai program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berbanding akademik perlu diperjelaskan supaya mereka lebih memahaminya,” jelasnya.

Dr Rundi berkata, Sarawak mahu menjana lebih banyak hasil dan satu antara pendekatannya adalah melalui perindustrian yang memerlukan kemahiran, kepandaian serta latihan yang sempurna dalam TVET.

“Semasa Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menjadi ketua menteri dan kini Yang di-Pertua Negeri Sarawak, beliau juga telah memikirkan cara untuk mempertingkatkan tenaga kerja mahir di negeri ini yang mempunyai 2.7 juta penduduk berbanding mengguna tenaga kerja import,” katanya.

Disebabkan itu katanya, menerusi pendidikan teknikal dan vokasional di kolej vokasional, kita dapat menghasilkan pelajar lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang terdiri daripada 70 peratus tenaga kerja, 20 peratus pelajar yang melanjutkan pengajian dan 10 peratus tekno usahawan.

Dan bagi pelajar lepasan Kolej Vokasional Bintulu katanya, mereka perlu bijak merebut peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka.

Beliau berharap usaha mempromosi dan memperkenal TVET melalui Hari Terbuka KV Bintulu bukan sahaja menumpu kepada sekolah-sekolah bandar bahkan kawasan luar bandar memandangkan bidang kemahiran mempunyai masa depan cerah untuk menampung keperluan pasaran tenaga kerja mahir dalam industri.

Pada majlis yang sama Dr Rundi mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) RM20,000 daripadanya dan Majang RM10,000 untuk aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Bintulu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Samalaju Majang Renggi, Pengarah KV Bintulu Jamali Muhamad, Ketua Unit Pengurusan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu Lau Siong Lee, tetamu lainnya, guru-guru, ketua-ketua masyarakat, para pelajar dan ibu bapa.

  • oleh
  • Advertisement