Anda di sini

Rossa kini bergelar Datuk Seri, nafi telah berkahwin dengan Afgan

Advertisement

PEKAN: Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa kini bergelar ‘Datuk Seri’ setelah dikurniakan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rosa Roslaina Handiyani yang merupakan antara 18 penerima darjah kebesaran itu melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih terhadap Sultan Pahang di atas  pengurniaan berkenaan.

“Saya amat bersyukur kerana tahun ini memberi banyak kebahagiaan kepada saya. Selepas mendapat Anugerah Khas Planet Muzik (APM2018) yang berlangsung di Singapura pada 28 September lalu, saya dapat pula anugerah (gelaran Datuk Seri) ini.

“Ini hadiah ulang tahun kelahiran saya pada 9 Oktober lalu dan sesungguhnya tahun ini membawa tuah kepada saya atas pencapaian terutamanya dalam bidang seni,” katanya yang ditemui selepas istiadat berkenaan.

Pelantun lagu ‘Pudar’ itu sebelum ini pernah menerima gelaran ‘Datuk’ daripada Sultan Ahmad Shah lima tahun lepas.

Dalam pada itu, penyanyi berasal dari Sumedang, Indonesia itu dan popular dengan lagu-lagu seperti ‘Atas Nama Cinta’, ‘Ayat-Ayat Cinta’, ‘Hati Yang Kau Sakiti’ dan ‘Aku Bukanlah Untukmu’ turut menafikan laporan yang tular di media sosial mengatakan dia telah berkahwin dengan penyanyi Afgan.

“Itu tular…belum lagi (berkahwin), InsyaAllah, semoga cepat sahaja dapat yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, artis veteran tanah air, Amir Hamzah Salleh atau lebih dikenali sebagai ND Lala, adalah antara 76 penerima darjah kebesaran dalam istiadat berkenaan.

Beliau antara 50 individu dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Beliau yang merupakan Pengarah Urusan The Right Interpreneur Sdn Bhd, berkata anugerah darjah kebesaran itu satu pengiktirafan dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada masyarakat melalui seni dan keusahawanan.

“Selama 36 tahun berkecimpung dalam bidang seni, apa yang saya pegang adalah kata-kata ibu supaya kita lebih banyak memberi kepada orang ramai, pengiktirafan adalah satu bonus dan bukan sesuatu yang dikejar,” katanya.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran itu disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. — Bernama

Advertisement