Anda di sini

MTDC-Protellus memupuk pelajar menjadi usahawan

Advertisement
 Norhalim (hadapan tengah) bersama Sazaly (hadapan, kiri) dan Jamal (hadapan, kanan) menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) antara Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bersama Protellus (M) Sdn. Bhd. dan Kolej UNITI Sdn. Bhd. di Menara Yayasan Tun Razak semalam.Turut hadir Farish (belakang, tengah), Abdul Aziz (belakang, kiri) serta Amir Hamzah (belakang, kanan). — Gambar Bernama
KERJASAMA: Norhalim (hadapan tengah) bersama Sazaly (hadapan, kiri) dan Jamal (hadapan, kanan) menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) antara Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bersama Protellus (M) Sdn. Bhd. dan Kolej UNITI Sdn. Bhd. di Menara Yayasan Tun Razak semalam.Turut hadir Farish (belakang, tengah), Abdul Aziz (belakang, kiri) serta Amir Hamzah (belakang, kanan). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Protellus (M) Sdn Bhd dan Kolej Uniti Sdn Bhd (Kolej Uniti) semalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memupuk dan mempercepatkan pelajar menjadi usahawan melalui program pinjaman mikro MTDC-Protellus.

MoU berkenaan menyaksikan Protellus menyumbang wang tunai berjumlah RM40,000 sebagai dana perniagaan manakala MTDC menyumbang Baucar Akademi Latihan Usahawan Teknologi MTDC (TENTRA) bernilai RM40,000.

Kolej Uniti pula akan menjalankan proses pemilihan pelajar bagi menyertai Program Pemecutan di TENTRA, seterusnya menjadi antara 10 calon usahawan untuk menerima kemudahan tersebut. Pelajar dikehendaki membayar kembali dana tersebut dalam tempoh pencapaian yang dipersetujui atau sebelum tamat pengajian.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus, Pengerusi Eksekutif Protellus, Datuk Sazaly Hassan dan Presiden Kolej Uniti, Datuk Jamal Mohd Amin.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Pengarah Perkhidmatan Korporat MTDC, Mohammad Farish Nizar Othman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Protellus, Esabirin Abdul Aziz dan CEO Kolej Uniti, Amir Hamzah Md Isa.

Norhalim dalam sidang media selepas majlis MoU berkata, Program Pinjaman-Mikro MTDC-Protellus itu diharap dapat memacu minat yang tinggi dalam kalangan pelajar Kolej Uniti untuk menceburi perniagaan dan mungkin meneruskan usaha itu selepas tamat pengajian.

“Apa yang penting bukanlah jumlah yang mereka terima, tetapi nilai dan ilmu yang diperoleh daripada program bimbingan yang diberi.

“MTDC melihat usaha berterusan yang berkesan  untuk membina usahawan teknologi perlu bermula dari awal, sejak mereka masih bergelar pelajar, apabila keluar nanti, mereka tidak terkejut dan tercari-cari kaedah bagaimana memulakan perniagaan.”

Norhalim menambah, ia juga satu kerjasama melibatkan MTDC bersama kolej swasta dan syarikat swasta yang akan melebarkan lagi jaringan MTDC dan menambah program sedia ada.

“Kita telah banyak bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam bersama jaringan MTDC sebelum ini. Dengan kerjasama ini, lebih banyak usahawan muda yang dapat kita bimbing.”

Sebagai anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad,  MTDC menerusi jaringan komersilnya  telah menyediakan pembiayaan dan bantuan kepada lebih 500 syarikat berasaskan teknologi yang terlibat dalam pelbagai aktiviti yang terdiri daripada sektor pertanian hinggalah ke sektor ICT. — Bernama

Advertisement