Anda di sini

Pembatalan projek ECRL, HSR dan saluran paip gas kurangkan lebih RM300 bilion hutang kerajaan

Advertisement
 Dr Mahathir (kanan) berucap pada Program Bicara Minda anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Dewan Karangkraf di Shah Alam, kelmarin. Turut hadir moderator Tan Sri Johan Jaafar. — Gambar Bernama
PUNCA HUTANG NEGARA: Dr Mahathir (kanan) berucap pada Program Bicara Minda anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Dewan Karangkraf di Shah Alam, kelmarin. Turut hadir moderator Tan Sri Johan Jaafar. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan saluran paip gas di Semenanjung Malaysia dan Sabah mengurangkan beban hutang kerajaan lebih RM300 bilion, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, projek tersebut terlalu mahal untuk dibiayai oleh kerajaan dan perancangan pembangunan mereka tidak disertai dengan jangkaan pulangan yang dapat membayar hutang untuk melaksanakan projek berkenaan.

“Dahulu, kalau kita hendak membuat satu perancangan, kita tentukan kita mempunyai duit yang cukup.

“Kalau tidak cukup, kita tentukan banyak mana kita boleh hutang (dan) setakat mana kita boleh bayar balik hasil pulangan daripada pelaburan. Itu cara yang terbaik,” katanya pada Program Bicara Minda Bersama Tun Dr Mahathir di sini kelmarin.

Katanya, prinsip itu tidak diamalkan oleh kerajaan sebelum ini yang hanya berhutang untuk membuat projek infrastruktur tanpa memikirkan keupayaan untuk membayar semula hutang tersebut.

Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya membatalkan projek yang tidak memberi masalah kepada rakyat.

“Misalnya ECRL, dia mula meminjam duit dengan syarat syarikat asing yang akan melaksanakannya. Apabila syarikat asing melaksanakannya, kita tak dapat apa pun.

“Pekerja asing dibawa, barangan dan alat-alat semuanya asing. Jadi, apa yang kita dapat, kita tak dapat apa-apa.

“Kalau kita batal ini, yang jadi mangsa pekerja mereka bukan pekerja kita. Jadi kita batalkannya, kita tak perlu membayar hutang yang banyak,” katanya.

Sementara itu, mengenai projek kereta nasional ketiga, Dr Mahathir berkata, projek itu untuk menarik perhatian masyarakat mengenai pentingnya penguasaan ilmu kejuruteraan dan pembuatan.

“Sebuah kereta mempunyai 4,000 komponen. Kalau kita nak buat kereta, kita perlu tahu mengenai reka bentuk, pengujian, komponen dan kualiti. Semua ini kita belajar.

“Apabila satu bangsa itu menguasai ilmu kejuruteraan, bangsa itu akan maju,” katanya.

Program bual bicara itu dianjurkan oleh akhbar Sinar Harian. — Bernama

Advertisement