Anda di sini

Reman suspek utama langgar lari di Cyberjaya disambung

Advertisement
 Dua warga asing yang terlibat dalam kejadian langgar lari seorang wanita di Cyberjaya Rabu lepas dibawa oleh anggota polis di Mahkamah Sepang bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut, semalam. — Gambar Bernama
BAKAL DIDAKWA: Dua warga asing yang terlibat dalam kejadian langgar lari seorang wanita di Cyberjaya Rabu lepas dibawa oleh anggota polis di Mahkamah Sepang bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut, semalam. — Gambar Bernama

SEPANG: Tempoh reman suspek utama kes langgar lari sehingga mengakibatkan kematian seorang pekerja Telekom Malaysia Bhd (TM) Unifi di hadapan Shaftbury, Cyberjaya Rabu lepas disambung sehari lagi sehingga hari ini.

Perintah sambung reman terhadap warga Libya berumur 23 itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sepang, Alpha Dragam di sini semalam.

Lelaki itu merupakan pemandu kereta jenis Hyundai berwarna perak yang terlibat dengan kes tersebut.

Peguam yang mewakili lelaki itu, Jeremy Vinesh Anthony berkata tiga lagi rakan suspek yang sebelum ini direman bersama anak guamnya dibebaskan.

Yang dibebaskan kelmarin dengan jaminan polis ialah seorang lagi lelaki warga Libya dan seorang wanita tempatan.

Seorang lelaki warga Yaman berusia 22 tahun yang turut dibawa ke mahkamah semalam tidak dipohon untuk disambung reman, katanya.

Dalam kes langgar lari itu, mangsa Wan Amirah Wan Alias, 31, yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales meninggal dunia pada Khamis selepas dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut. — Bernama

Advertisement