Anda di sini

Permohonan Jamal kecualikan kehadiran, ditolak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam menolak permohonan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, untuk mengecualikan kehadirannya pada prosiding sebutan semula yang akan datang berhubung empat kes yang dihadapinya.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Haslinda A. Raof membuat keputusan itu setelah Jamal, 48, dan peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakilinya membuat permohonan itu di dua Mahkamah Majistret berasingan.

“Atas alasan apa tertuduh (Jamal) tak dapat hadir? Sekiranya tertuduh tidak dapat hadir, tulis surat secara rasmi, kenapa tak boleh hadir. Sebab kes-kes jenayah, semua tertuduh hadir kecuali ada sebab-sebab tertentu,” kata Mohamad Firdaus selepas Mohd Imran Tamrin membuat permohonan itu pada prosiding sebutan semula kes Jamal semalam.

Di hadapan Haslinda, Jamal, yang berdiri di kandang tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia dan lima lagi tertuduh yang dituduh bersamanya perlu melaksanakan pekerjaan masing-masing dan memohon hanya Mohd Imran selaku peguam mereka, yang hadir pada prosiding sebutan semula akan datang namun permohonan itu turut ditolak Haslinda.

“Kamu kena hadir. Tujuan bagi jaminan itu adalah untuk kehadiran tertuduh, walaupun dah ada peguam, (Jamal dan tertuduh lain) kena hadir,” kata Haslinda.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim dan Raihanah Abd Razak memaklumkan dokumen berkaitan kes itu belum disediakan sepenuhnya untuk diserahkan kepada pihak pembelaan dan memohon tarikh sebutan baharu untuk serahan dokumen.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 13 Nov untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Mohamad Firdaus, Jamal, yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia berdepan tiga tuduhan iaitu Jamal bersama-sama seorang lelaki yang telah dituduh dan seorang lelaki yang masih bebas didakwa melakukan pencerobohan rumah di Kedai Starcom Trading and Services, No 23 dan 25, Jalan Kosas 13, Taman Kosas, Ampang, di sini pada jam 3.30 petang, 29 Dis 2016.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, Jamal didakwa dengan sengaja telah melepaskan diri daripada jagaan polis selepas dituduh atas tiga kesalahan jenayah di Hospital KPJ Ampang Puteri, Ampang, di sini antara jam 2 dan 3 petang, 25 Mei lepas mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Jamal turut didakwa atas tuduhan tanpa sebab-sebab yang munasabah telah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan-laluan yang dibenarkan atau diwartakan, di hospital sama pada tarikh serupa mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen  pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Haslinda, Jamal, bersama lima lagi lelaki didakwa dengan niat bersama telah melakukan pencerobohan di premis hiburan keluarga Happy Toys, No 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas, Ampang, di sini pada 3.40 petang, 29 Dis 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

— Bernama

Advertisement