Anda di sini

Perbicaraan kejadian bot katamaran karam ditangguh

Advertisement
 

KOTA KINABALU:  Perbicaraan tiga individu yang didakwa terlibat dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Mengalum, tahun lalu, ditangguhkan pada 27 hingga 28 November.

Hakim Mahkamah Seysen Noor Hafizah Mohd Salim menangguhkan pendengaran kes terbabit terhadap Sharezza Salian, 25, Leong Vin Jee, 44, dan Chung Ket Siew, 64.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Nartiah F.Michell Sambatan memberitahu beliau perlu mengikuti kursus yang dihadiri semua Timbalan Pendakwaraya.

Katanya kursus berkenaan bermula pada Selasa hingga Jumaat dalam minggu ini.

Setakat ini pihak pembelaan sudah memanggil dua saksi (Sharezza dan Leong) dan dua lagi saksi akan dipanggil memberikan keterangan.

Ketiga-tiga tertuduh diperintahkan membela diri atas pertuduhan terhadap mereka, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Bagi pertuduhan pertama Sharezza dan Leong didakwa mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

Sharezza sebagai jurangan bot membawa 20 penumpang pelancong China, 12 wanita dan lapan lelaki, dengan cuai membawa bot ke laut sehingga membahayakan nyawa.

Kesalahan dilakukan pada 28 Januari tahun lalu jam 10 pagi hingga jam 11 pagi, di perairan Pulau Mengalum, di sini.

Leong sebagai pengurus operasi Syarikat Golden Sailling Travel and Tour Sdn Bhd, membenarkan Sharezza membawa bot berkenaan dengan cuai, sehingga membahayakan nyawa para penumpang.

Kesalahan dilakukan pada hari sama, kira-kira jam 9.15 pagi di jeti Kampung Tanjung Aru Lama, di sini.

Manakala Chung sebagai pengarah syarikat terbabit, didakwa menyebabkan cedera terhadap 20 penumpang, kerana membenarkan Leong menguruskan dan menggunakan bot berkenaan.

Kedua, Sharezza dan Leong didakwa menyebabkan kematian secara cuai mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan. 

Mereka sebagai jurangan, pengurus operasi dan pengarah syarikat, didakwa menyebabkan kematian dua lelaki dan dua wanita warga China, pada hari sama.

Ketiga, tertuduh pertama dan kedua masing-masing diperintahkan membela diri, atas pertuduhan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (Lesen kapal kecil) 2008.

Mereka didakwa gagal menyediakan peralatan keselamatan seperti didalam Jadual Keempat dalam Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (Lesen kapal kecil) 2008.

Keempat, Chung dan Leong juga diperintahkan membela diri atas pertuduhan gagal mengemukakan lesen untuk membawa bot penumpang, didakwa mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008.

Kelima, Chung sebagai pemilik berdaftar ke atas bot terbabit tidak memberikan peringatan dan melaporkan kepada Leong, mengenai Sharezza sebagai jurangan kepada pihak berkuasa.

Tertuduh diperintahkan membela diri atas pertuduhan itu, mengikut Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2008, dihukum mengikut Seksyen 21 peraturan sama.

Keenam, Leong dan Sharezza juga diarah membela diri atas pertuduhan mengikut Peraturan 13 peraturan sama, kerana menaikkan 30 penumpang serta anak kapal, di jeti haram Kampung Tanjung Aru Lama.

Ketujuh, Leong sekali lagi diperintahkan membela diri atas pertuduhan mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan, kerana berada dalam pengetahuannya membawa penumpang melebihi muatan.

Nartiah dibantu Timbalan Pendakwaraya Nurun Nazifah Muhammad Iyen dari Jabatan Maritim, sementara peguam Michelle Usman bersama Benazir Japiril Bandaran mewakili Sharezza.
Peguam Edward Paul dan Elffie Johny bertindak untuk Leong dan Chung.

  • oleh
  • Advertisement