Anda di sini

Operator bot kena lima tahun dan denda RM10,000

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang nelayan tenang semasa mendengar hukumannya, penjara maksimum lima tahun dan denda RM10,000 atas kesalahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad juga memerintahkan Raisaltan Ajis, 26, dikenakan penjara enam bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Semasa menyampaikan keputusan itu, Nurchaya mengatakan bahawa kesalahan yang dilakukan menyebabkan kesedihan penduduk Sabah.

“Kes seperti ini kerap berlaku, penduduk tempatan terpaksa 'menelan ubat yang pahit'. Walaupun anda tidak tahu membaca, namun mengetahui perbuataan itu salah,” katanya.

Menurutnya tertuduh melakukan kesalahan serius kerana membawa migran haram masuk ke negara ini, tanpa melalui saluran pihak berkuasa.

“Ini salah satu contoh kes yang kerajaan tidak akan pandang ringan,” katanya dan menambah, perbuataan tertuduh hanya meningkatkan jumlah pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah.

Berdasarkan fakta kes, pengadu menyatakan melihat bot yang tiba di daratan kawasan pesisiran pantai Kampung Terongkongan, Kudat  pada 6 April jam 11 pagi.

Pemeriksaan dilakukan dan menemukan lima penumpang, antaranya seorang bayi berusia sepuluh bulan.

Setelah diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri, mereka gagal melakukan demikian dan mengaku tidak memiliki sebarang dokumen.

Lima penumpang berkenaan terdiri empat wanita berusia antara 16 hingga 32 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun.

Hasil semakan dengan Jabatan Imigresen mengesahkan tiada rekod pergerakan semua lima penumpang terbabit.

Semasa rayuan peguam Mohamed Nazim Datuk Maduarin menyatakan tertuduh tidak mempunyai apa-apa dokumen dan tidak berpendidikan.

“Tertuduh tidak mengetahui menyeludup migran satu kesalahan, hal ini kerana baginya perbuataan itu hanya membantu rakan dan saudaranya.

“Tertuduh memohon hukumannya diringankan,” katanya.

Namun Timbalan Pendakwaraya Mohd Khairuddin Idris berkata tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26 J Atipsom, boleh dikenakan penjara lima tahun dan denda RM250,000 atau kedua-duanya.

Tegasnya kesalahan yang dilakukan tidak mencukupi jika sekadar dikenakan denda, kerana melibatkan kepentingan awam terutamanya keselamatan negara .

“Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada masyarakat bahawa kesalahan seperti ini tidak boleh ditolak ansur,” katanya.

Dalam pada itu, Nurchaya memerintahkan bot diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk pelupusan.

  • oleh
  • Advertisement