Anda di sini

Penggali kubur dipenjara 10 bulan, miliki syabu di tanah kubur

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Seorang penggali kubur terpaksa merengkok di penjara selama 10 bulan akibat memiliki dadah syabu yang disimpan di dalam begnya yang dipakai di pinggangnya ketika berada di tanah perkuburan.

Md Nawas Mahmud, 33, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Haslinda A.Raof di Mahkamah Majistret Ampang, di sini selepas dia mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine berat bersih 0.06 gram di kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, di sini pukul 6.20 petang, 13 Ogos lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 13 Ogos.

Ketika rayuan, Md Nawas yang tidak diwakili peguam memohon hanya dikenakan hukuman denda paling rendah namun Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon tertuduh dijatuhi hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.

Mengikut fakta kes, bertindak atas maklumat, anggota polis melalui operasi ‘Ops Tapis’ telah membuat serbuan di tanah perkuburan itu dan telah menemui tertuduh.

Pemeriksaan lanjut terhadap tertuduh menjumpai satu paket lutsinar berisi bahan disyaki dadah di dalam beg pinggang yang dipakai tertuduh dan hasil analisis ujian kimia mengesahkan ia adalah dadah jenis methamphetamine.

-- Bernama 

Advertisement