Anda di sini

Salang Timbalan Presiden baharu PRS 

Advertisement
 


SIBU: Bekas Anggota Parlimen Julau Datuk Joseph Salang (gambar) dipilih sebulat suara untuk menyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada persidangan perwakilan luar biasa  parti itu di sini lewat petang semalam.

Beliau menggantikan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu yang dipecat daripada parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Pemilihan Salang yang sebelum ini setiausaha agung telah diusulkan oleh Naib Presiden Datuk Wilfred Rata Nissom, dicadang oleh anggota PRS Pelagus Ellison Silo dan disokong Andy Lawrence (Exco Pemuda).

Persidangan itu turut menyaksikan bekas penolong kepada Salang, Datuk Ir. Janang Bunsu, dipilih menggalas jawatan setiausaha agung. Jawatan penolong setiausaha agung pula akan dilantik kemudian.

Pada majlis makan malam ulang tahun ke-14 parti itu di sini malam tadi, Salang mengucapkan terima kasih kepada presiden parti merangkap Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing dan para perwakilan atas keyakinan serta kepercayaan kepada beliau untuk menggalas jawatan itu.

Pada pemilihan PRS di Bintulu dua tahun lepas, Salang yang ketika itu anggota parlimen Julau tewas tipis kepada Entulu yang juga anggota parlimen Selangau pada ketika itu dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

“Dua tahun lalu saya tewas dalam pertandingan Timbalan Presiden tetapi saya tidak kecewa, tidak rasa marah. Tapi tahun ini saya kalah dalam PRU14 dan terlepas kerusi (Parlimen Julau). Ini buat saya rasa kecewa kerana hilang perwakilan (dalam Parlimen) bagi PRS.

“Saya tahu ramai (anggota parti) yang sedih atas kekalahan saya dalam PRU14 tetapi bagi saya ia adalah peluang untuk melihat ke belakang, diri sendiri serta orang di sekeliling untuk melakukan yang terbaik pada masa depan,”jelasnya sambil melahirkan rasa bangga kerana diberi peluang untuk membantu presiden parti mengukuhkan kedudukan parti pada masa akan datang.

-- Bernama 
 

Advertisement