Anda di sini

Rosfaniaga Services komited tembusi pasaran luar negara

Advertisement
 Fatimah (kiri) mengiringi Naroden (kanan) menandatangani plak sempena perasmian kilang Rosfaniaga Services Sdn Bhd di pusat komersial Eastwood Miri.
SUDAH RASMI: Fatimah (kiri) mengiringi Naroden (kanan) menandatangani plak sempena perasmian kilang Rosfaniaga Services Sdn Bhd di pusat komersial Eastwood Miri.

MIRI: Rosfaniaga Services Sdn Bhd komited untuk menembusi pasaran luar negara dalam mengeksport produk berasaskan ikan seperti keropok lekor, kiub ikan dan sebagainya.

Pengarah Urusan Rosfaniaga Services Sdn Bhd, Fatimah Abdul Hamid berkata pihaknya telah melakukan tinjauan pasaran di Korea, Nanning China, Brunei serta Indonesia.

”Kita telah melakukan servei di Korea dan China untuk meninjau pasaran di sana dan kita yakin akan cuba mengeksport produk keropok lekor jenama d-FRentz ke sana,” katanya.

Fatimah menarik perhatian bahawa tulang ikan juga telah mendapat permintaan dari negara luar terutamanya dari Jepun.

”Kita juga mendapat permintaan dari negara Jepun untuk mengeksport tulang ikan ke sana, yang selama ini sisa tulang ikan kita telah buang selama tujuh tahun sebenarnya juga amat diperlukan di pasaran luar negara,” katanya.

Syarikat itu tambahnya telah beroperasi Januari 2012 dan membuka cawangan pertama di Bako, Kuching pada Ogos 2012.

Syarikat itu kemudian mengambil langkah berani membeli kilang sendiri di Miri pada Disember 2014 dengan bantuan kewangan bank tempatan dan agensi kerajaan.

”Kejayaan kita hari ini tidak dapat bergolek kerana kita telah bertungkus-lumus dan menempuhi pelbagai ’pasang surut’ dalam perniagaan sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.

Pihaknya juga sedang menuju ke arah Industri 4.0 selaras dengan dasar kerajaan untuk memastikan Industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan kekal relevan dalam pasaran.

”Kita sedang merancang penggunaan mesin pengeringan menggunakan tenaga solar dan adalah antara inisiatif kita menuju ke arah Industri 4.0,” jelasnya.

Syarikat itu juga telah menerima Anugerah Usahawan Ikon Negeri Sarawak serta anugerah lain berstatus empat bintang selepas beroperasi selama tujuh tahun.

Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais baru-baru ini telah merasmikan Kilang Rosfaniaga Services Sdn Bhd.

Dalam ucapannya, beliau mahu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan perlu memulakan pembangunan produk dan perkhidmatan bagi menembusi pasaran di luar pantai terutamanya di China.

  • oleh
  • Advertisement