Anda di sini

PKNS perkenal VTR mudahkan bakal pembeli lihat rumah

Advertisement

SHAH ALAM: Bakal pembeli hartanah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini boleh melihat keseluruhan hartanah yang diminati mereka tanpa perlu berada di tapak projek dengan pengenalan teknologi Virtual Tour Reality (VTR).

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Sidek berkata menerusi VTR itu, pelanggan mendapat akses secara menyeluruh dengan gambaran visual di segenap ruang yang memberi pengalaman berada di dalam rumah berkenaan secara maya.

“Secara tidak langsung ia dapat menarik minat dan seterusnya pelanggan dapat membuat keputusan untuk membeli produk hartanah PKNS tanpa perlu ke tapak projek.

“Pembeli hanya perlu melawat laman web PKNS Property untuk menggunakan kemudahan VTR bagi melihat hartanah yang mereka minat untuk beli,” katanya kepada pemberita di Hari Bersama Pelanggan PKNS  yang dianjurkan di Kompleks PKNS, di sini, semalam.

Turut dilancarkan semalam ialah PKNS Loyalty Card sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah membeli produk hartanah PKNS.

Norita berkata kad berkenaan akan diberikan kepada pelanggan PKNS yang membeli hartanah bermula dari 2010 di mana setiap pembelian seunit hartanah melayakkan pembeli menerima satu unit kad berkenaan.

“Kelebihan yang dimiliki pemilik kad ini ialah mereka akan menerima pelbagai keistimewaan dan diskaun menarik untuk perkhidmatan di anak syarikat PKNS antaranya seperti Pusat Konvensyen Shah Alam, rangkaian Hotel De Palma dan Kelab Golf Seri Selangor. — Bernama

Advertisement