Anda di sini

Marr SC sahkan slot ke suku akhir Liga Serian LSC 2018

 Saravanan (kiri) melarikan bola sambil dikejar oleh pemain Maksi FC pada perlawanan suku akhir Liga Serian LSC 2018 semalam.
PANTAS: Saravanan (kiri) melarikan bola sambil dikejar oleh pemain Maksi FC pada perlawanan suku akhir Liga Serian LSC 2018 semalam.

KUCHING: Finalis 2017 - Marr SC mengesahkan slot ke suku akhir Liga Serian LSC 2018 selepas berjaya menumpaskan Maksi FC (3-0) pada aksi terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Mini Siburan semalam.

Bekas pemain Sarawak, Saravanan Muthia menjadi wira dengan meledakkan dua gol pada minit ke-15 dan ke-47 hasil sepakan penalti.

Satu lagi gol Marr SC dijaringkan Mohd Ramzie Jumat pada minit ke-55.

Kemenangan itu membolehkan anak-anak didik Jalong Lejau menghuni tangga ketiga dengan mengumpul lima mata setelah mencatat satu kemenangan, dua kali seri dan satu kekalahan.

“Kami cukup lega dengan kemenangan ini dan paling mengembirakan kemenangan tersebut membolehkan kami mara ke suku akhir,” kata Jalong ketika mengulas kejayaan pasukannya.

Menurut Jalong, pemain-pemainnya beraksi mengikut pelan yang dirancang serta bijak memanfaatkan segala peluang yang terhidang.

“Keadaan padang yang becak sedikit merencatkan pergerakan pemain-pemain dalam merencanakan serangan ke kubu lawan,” tambah beliau.

“Apapun kredit kepada semua pemain kerana berusaha keras sepanjang perlawanan untuk memastikan Marr SC meraih kemenangan sulung musim ini,” katanya.

Sementara itu, perlawanan semalam turut dimeriahkan dengan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2018 Peringkat Serian menyaksikan beberapa aktiviti disediakan Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA).

Antara aktiviti termasuk peraduan sepakan penalti dan cabutan bertuah kepada pengunjung.

Turut hadir Presiden SFA, Phillip Jabu dan Pengurus Skuad Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamed.