Anda di sini

Kerap anjur kempen kesedaran kanser payudara: Wong

Advertisement

TAWAU: Kempen mengenai kesedaran kanser payudara perlu kerap dianjurkan dan semua pihak bertanggungjawab melaksanakan secara konsisten, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

Katanya, setiap anggota masyarakat termasuk sektor swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) harus berganding bahu dalam menangani peningkatan penyakit itu.

“Masyarakat perlu diperkasa dengan kesedaran dan pengetahuan yang mencukupi bagi membolehkan kanser payudara dapat dikesan sekali gus dicegah lebih awal dengan tindakan merawat.

Ujian saringan mengesan kehadiran kanser payudara pada peringkat awal adalah langkah penting membantu meningkatkan peluang kanser tersebut dirawat dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menterinya, Norazlinah Arif pada program kempen kesedaran kanser payudara peringkat Tawau di sini, semalam.

Wong berkata peningkatan kes kanser payudara di negara ini dijangka terus meningkat sehingga 50 peratus menjelang tahun 2025 jika tiada kesedaran awal.

Menurutnya, peningkatan kadar kematian dalam kalangan pesakit kanser payudara itu akibat kegagalan mendapatkan rawatan awal apabila 40 hingga 50 peratus yang datang menjalani ujian kanser dihidapi mereka sudah berada di tahap tiga atau empat.

“Perasaan takut atau malu serta terdapat pesakit cenderung mendapatkan rawatan alternatif juga punca kepada kes kanser payudara meningkat,” katanya lagi. — Bernama

Advertisement