Anda di sini

Kerajaan sedia bangun lebih banyak pusat Internet di kawasan Orang Asli

Advertisement
 Eddin (depan, dua kanan) menyiram pokok hutan yang ditanam pada Majlis Pelancaran Sri Gumum Cyber Cube dan Penanaman Semula Pokok di Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pekan dekat Pekan, semalam. Turut hadir  Zuraida (kanan). — Gambar Bernama
SIMBOLIK: Eddin (depan, dua kanan) menyiram pokok hutan yang ditanam pada Majlis Pelancaran Sri Gumum Cyber Cube dan Penanaman Semula Pokok di Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pekan dekat Pekan, semalam. Turut hadir Zuraida (kanan). — Gambar Bernama

PEKAN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersedia untuk memperbanyakkan lagi kemudahan pusat Internet di kawasan yang didiami oleh masyarakat Orang Asli, dalam usaha mendedahkan komuniti itu dengan kemudahan teknologi.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith  berkata ia selaras dengan sasaran kerajaan yang mahu memastikan lebih 95 peratus kawasan berpenduduk di negara ini menerima perkhidmatan jalur lebar termasuk di kawasan pedalaman.

“Pusat Internet ini penting dan signifikasi dengan keperluan semasa dan kerajaan mahu masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan bersama-sama menikmati kemudahan itu selain bersaing dalam ekonomi digital untuk memasarkan produk-produk mereka.

“Melalui pendedahan teknologi ini, mereka akan dapat melakukannya (memasarkan produk) dengan lebih efisien dan mudah termasuk ke luar negara yang sekali gus dapat menjana ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sri Gumum Cyber Cube dan Penanaman Semula Pokok di Tasik Chini Rizab Biosfera UNESCO di Pusat Penyelidikan Tasik Chini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Korporat Celcom Axiata Berhad Zuraida Jamaluddin, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Ketua Penyelidik Tasik Chini Fakulti Sains dan Teknologi UKM Datuk Seri Dr Mushrifah Idris.

Menurutnya, langkah Celcom dengan kerjasama UKM mewujudkan pusat Internet Sri Gumum Cyber Cube yang dilengkapi dengan kemudahan Internet 4G dan komputer, adalah satu daripada langkah yang harus dipuji kerana ia memperkasakan lagi masyarakat Orang Asli Jakun di kawasan Tasik Chini.

“Menerusi kemudahan ini juga, masyarakat Orang Asli di sini dapat memasarkan produk mereka di pasar raya digital menerusi portal ‘PribumiMall’ yang telah dibangunkan khas oleh Celcom dengan kerjasama 11Street,” katanya.

Dalam masa yang sama, program penanaman 1,000 batang pokok hutan dan buah-buahan di pusat penyelidikan itu dan Kampung Orang Asli Tasik Chini dapat menghijaukan kembali zon teras Rezab Biosfera Tasik Chini.

Katanya walaupun kerajaan meletakkan pergantungan ekonomi dalam kepelbagaian sektor, namun peranan alam sekitar sebagai sumber asli dan keseimbangan ekologi tetap dititikberatkan. — Bernama

Advertisement