Anda di sini

Filem Bruce Willis dibatalkan selepas kes cukai Fan Bingbing

Advertisement
 Gambar fail yang diambil pada 11 Mei 2018 ini menunjukkan aktres China Fan Bingbing semasa tiba untuk tayangan perdana filem ‘Ash is Purest White (Jiang hu er nv)’ di edisi ke- 71 Festival Filem Cannes di Cannes, selatan Perancis France. — Gambar AFP
SKANDAL CUKAI: Gambar fail yang diambil pada 11 Mei 2018 ini menunjukkan aktres China Fan Bingbing semasa tiba untuk tayangan perdana filem ‘Ash is Purest White (Jiang hu er nv)’ di edisi ke- 71 Festival Filem Cannes di Cannes, selatan Perancis France. — Gambar AFP

SEBUAH filem epik Perang Dunia Kedua dalam bahasa Cina yang memaparkan dua pelakon senarai A dari Hollywood, Bruce Willis dan Adrien Brody, telah dibatalkan selepas seorang lagi bintang Fan Bingbing disasari pihak berkuasa kerana mengelak cukai, media tempatan melaporkan.

Fan merupakan salah seorang selebriti berprofil paling tinggi di China, dan turut berlakon dalam filem blockbuster ‘X-Men: Days of Future Past’ dan versi China bagi ‘Iron Man 3’.

Namun bintang mega berusia 36 tahun itu hilang daripada khalayak ramai selama berbulan-bulan pada tahun ini, yang menimbulkan spekulasi bahawa dia sedang disiasat di negara asalnya.

Sejak itu dia sudah memohon maaf dan diarahkan untuk membayar cukai tertunggak dan denda hampir sebanyak AS$130 juta, agensi berita rasmi Xinhua melaporkan pada 3 Oktober lalu.

Filem terbaharunya, oleh pengarah dari China, Xiao Feng, dijadual dibuka dalam masa terdekat.

Namun Xiao menulis dalam platform Weibo ala Twitter di China pada Rabu lepas bahawa “masanya sudah tiba untuk melepaskan” filem cereka terbaharunya ‘Air Strike’ selepas usaha selama lapan tahun, tetapi dia menambah “melepaskan bukan bermakna berputus asa”.

Xiao, yang memohon maaf kepad peminat dan syarikat pengedaran filem tersebut, tidak menyatakan sama ada atau bila tayangan sulung filem itu akan dijadualkan semula.

Media kerajaan Global Times turut menulis dalam Weibo pada Rabu lepas bahawa filem itu telah “dibatalkan tanpa penjelasan”.

Beijing News dan laman sesawang berita Sina, yang memetik sumber tidak bernama dari syarikat promosi filem, turut melaporkan pembatalan itu.

‘Air Strike’ dihentikan ketika industri filem China menghadapi cabaran yang lebih meluas daripada pihak berkuasa percukaian.

Hos TV selebriti Cui Yongyuan - yang membocorkan dokumen kontrak filem Fan pada awal tahun ini - menyifatkan ‘Air Strike’ sebagai satu “penipuan yang amat besar” selepas aktres itu memohon maaf, tanpa menjelas lanjut.

Xinhua melaporkan pihak berkuasa sudah mengumumkan tindakan yang lebih meluas ke atas industri hiburan, dengan pesalah yang diberi pengampunan am sehingga 31 Disember untuk membayar sebarang cukai yang tertunggak.

Skandal cukai itu telah menarik tumpuan kepada dakwaan mengenai penggunaan dua kontrak “yin dan yang” di China, di mana orang menandatangani satu dokumen untuk pendapatan yang diisytiharkan kepada pihak berkuasa percukaian manakala dokumen kedua dirahsiakan. — AFP

Advertisement