Anda di sini

Ben Stiller arah drama cekal tentang lari dari penjara

Advertisement
 Ben Stiller semasa sesi bergambar untuk siri TV ‘Escape at Dannemora’ yang sebahagian MIPCOM, pada 15 Oktober lepas di Cannes.  — Gambar AFP
SERIUS: Ben Stiller semasa sesi bergambar untuk siri TV ‘Escape at Dannemora’ yang sebahagian MIPCOM, pada 15 Oktober lepas di Cannes. — Gambar AFP

BINTANG Hollywood Ben Stiller mengetepikan wajah badutnya untuk mengadakan tayangan perdana bagi filem arahan sulungnya di Cannes, sebuah drama lari dari penjara yang lebih aneh daripada fiksyen dan berdasarkan kisah benar.

Pelakon Amerika yang paling terkenal bagi filem-filem ‘Zoolander’ dan ‘Night at the Museum’ itu mengarahkan kesemua lapan episod ‘Escape at Dannemora’, dengan episod pertama yang ditayangkan di MIPCOM, acara hiburan dan televisyen terkemuka di dunia yang diadakan di pusat peranginan French Riviera.

Dengan barisan pelakon bintang termasuk Benicio del Toro, Patricia Arquette dan Paul Dano, Stiller menggunakan bakat sebagai pengarah untuk menceritakan tentang kisah yang tabah dan menakjubkan mengenai seorang wanita yang membantu dua orang pembunuh lari dari sebuah penjara di utara New York dekat sempadan Kanada.

Tindakan mereka melarikan diri dari penjara Clinton Correctional Facility pada 2015 memukau Amerika.

Minat itu menjadi semakin kuat lagi apabila yang menjadi jelas bahawa penyelia wanita berusia pertengahan tahun di penjara tersebut, Tilly Mitchell, menjalin hubungan dengan kedua-dua lelaki terbabit dan menyeludup mata gergaji besi dan daging burger ke dalam penjara untuk mereka.

Stiller, yang membintangi filem-filem yang mengaut keuntungan hampir AS$3 bilion, berkata ia pasti mustahil untuk “membuat semua nuansa tentang realiti (penjara) dalam masa dua jam” di atas skrin besar.

“Kita tidak dapat menceritakan kisah semua watak atau berpeluang untuk menunjukkan dunia mereka dan membina ketegangan,” katanya selepas mengadakan tayangan.

“Televisyen sekarang merupakan tempat di mana kita dapat membuat jenis filem yang kita tidak buat lagi,” ujarnya.

- Kisah yang ‘berbunyi seperti sebuah novel’ -

Bayangkan, katanya, cuba menerima realiti tentang Mitchell yang bekerja dengan seorang pengawal sahaja dalam sebuah bilik “yang penuh dengan 40 orang pembunuh dan perogol, masing-masing dengan gunting besar, bekerja untuk 35 sen sejam” bagi sebuah syarikat luar yang mengaut keuntungan besar hasil daripada keringat semua mereka.

Stiller menghabiskan masa hampir dua tahun untuk mengusahakan ‘Escape at Dannemora’, dengan melawat banduan yang lari dan masih hidup David Sweat selama lima jam dan membuat penggambaran di perkarangan penjara di mana dia merancang kelolosan itu bersama Richard Matt, seorang pelukis berbakat dengan sifat Machiavelli yang mengawal banduan dan pengawal penjara.

Dia berkata skripnya berdasarkan satu laporan antirasuah yang ditulis oleh inspektor jeneral New York, Catherine Leahy Scott, yang menurut Stiller “berbunyi seperti sebuah novel”.

“Ia adalah sukar untuk tidak mengenal pasti protagonis dalam kejadian lari dari penjara, tetapi kita mahu menunjukkan siapa mereka sebagai manusia dan kenapa mereka berada dalam penjara,” ujar Stiller.

“Kita ada kebebasan untuk menceritakan kisah seperti ini dalam TV dan bekerja dengan cara yang bukan sekadar mengenai membawa penonton yang ramai ke panggung,” kata pelakon berusia 52 tahun itu.

“Ia adalah jenis kisah yang saya mahu ceritakan tetapi tidak pernah buat sehingga sekarang.”

Episod pertama ‘Escape at Dannemora’ akan ditayangkan dalam program Showtime di Amerika Syarikat pada 18 November. — AFP

Advertisement