Anda di sini

222 pelajar Tingkatan Lima SMK St Columba menerima anugerah, sijil

Advertisement
 Dr Teo (tiga kanan baris belakang) serta tetamu bersama penerima anugerah dan ibu bapa masing-masing pada Majlis Apresiasi Tingkatan Lima SMK St Columba di Miri semalam.
SYABAS: Dr Teo (tiga kanan baris belakang) serta tetamu bersama penerima anugerah dan ibu bapa masing-masing pada Majlis Apresiasi Tingkatan Lima SMK St Columba di Miri semalam.

MIRI: Seramai 222 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Columba Miri menerima anugerah dan sijil pencapaian serta penghargaan pada majlis apresiasi di dewan sekolah tersebut, semalam.

Majlis yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo turut dihadiri Pengetua SMK St Columba Subah Nyareng, Vicar Gereja St Columba Rev Alfred Damu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St Columba Karambir Singh dan wakil Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Artini Anuar.

Dalam ucapannya, Dr Teo mengingatkan para pelajar agar merebut segala peluang disediakan untuk memperolehi ilmu pengetahuan sebanyak mungkin khususnya pada usia muda.

“Malah, kerajaan turut menyediakan tawaran biasiswa dan pinjaman untuk membolehkan anak-anak meneruskan pengajian selepas tamat sesi persekolahan.

“Selain itu, terdapat pelbagai institusi pendidikan tinggi sama ada kerajaan atau swasta turut disediakan kepada pelajar-pelajar meneruskan cita-cita dan demi masa depan.

“Oleh itu, rebut dan gunakan peluang ada dengan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Teo turut mengingatkan ibu bapa terus memberi kerjasama dan mempunyai hubungan baik dengan pihak sekolah dalam usaha memupuk pembangunan positif kalangan pelajar dari pelbagai aspek.

“Selain itu, kita percaya lembaga sekolah dan PIBG memainkan peranan masing-masing membantu dari segi pembangunan pengurusan sehingga sokongan kewangan memastikan pelajar boleh terlibat pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum sama ada peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, majlis tersebut melibatkan tujuh kelas Tingkatan Lima SMK St Columba bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada para pelajar cemerlang dalam akademik.

Selain itu, ia juga untuk memberi anugerah kepada pelajar berdedikasi yang menyumbangkan pelbagai perkhidmatan kepada sekolah.

Antara penerima anugerah ialah Daniel Chieng (Murid Terbaik SPM 2017), Joanna Jean (Anugerah Khas Lembaga Sekolah), Aida Hartini Ismail dan Vallerie Hermilton Jawan (Anugerah Khas PIBG), Mohammad Akmal Manja (Anugerah Khas Alumni), Melvin Phoon dan Johannen Hii (Anugerah Khas Pengetua) dan Siaw Chong Lin (Anugerah Murid Contoh).

Advertisement