Anda di sini

Wanita mengaku bersalah terlibat aktiviti pelacuran

Advertisement

SIBU: Seorang wanita berusia 43 tahun dijatuhkan hukuman denda RM2,500 atau tiga bulan penjara dan 20 hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Tertuduh, Ching Mee Ling, berasal dari Segamat, Johor dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Saiful Sayoti selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.

Dia didakwa melacurkan diri di sebuah bilik hotel di Jalan Lanang pada 16 Oktober 2018, kira-kira jam 10.50 malam dan didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Seksyen 372B ini memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis yang menjalankan Ops Noda telah menyerbu sebuah bilik hotel di Jalan Lanang dan menjumpai seorang lelaki dan seorang wanita di dalam bilik tersebut.

Siasatan mendapati lelaki tersebut adalah pelanggan kepada tertuduh, yang datang ke hotel terbabit untuk mendapatkan khidmat seks.

Pemeriksaan lanjut pihak polis turut menjumpai sekeping kondom yang telah digunakan dan lima keping kondom yang belum digunakan, selain gel pelincir dan wang tunai RM250.

Kedua-dua mereka kemudian ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Advertisement