Anda di sini

Pemandu lori didenda RM12.1 juta bawa rokok seludup

Advertisement
Gambar hiasan

MIRI: Seorang pemandu lori didenda RM12,158,400 atau 18 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini petang semalam setelah didapati bersalah memiliki rokok seludup bernilai RM715, 200.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti segala keterangan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung.

Jong Chun Ang, 32, dari Luak di sini didakwa mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135 (1) (III) (aa) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa memiliki barang larangan iaitu rokok sebanyak 1,894 kotak x 50 karton x 20 batang bernilai RM715,200 dengan duti kastam berjumlah 
RM5,728,752.00 (termasuk duti import RM1,788,000.00, duti eksais RM3, 576,000.00 dan GST RM364, 752.00).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam sebuah lori bernombor pendaftaran QMR63xx, pada 4.30 petang, 9 November 2015 di Jalan Miri Port di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ringan memandangkan semasa kejadian dia hanya bekerja sebagai pemandu kepada lori tanpa mengetahui muatan lori terbabit.

Sebaik Zuraini membacakan keputusannya, tertuduh merayu agar hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu memfailkan rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman dan memerintahkan tertuduh dibebas dengan jaminan RM100,000 berserta dua penjamin tempatan dan perlu membayar deposit jaminan RM50,000.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Thomas Abun Nyambong dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia, manakala tertuduh diwakili peguambela Arthur Lee, Zal Hii dan S.H.Lim.

  • oleh
  • Advertisement