Anda di sini

Autonomi perlu diambil kira

Advertisement
 Abang Johari menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan Hotel Butik Amamas di Kuching, semalam.
RASMI: Abang Johari menandatangani plak sebagai simbolik pembukaan Hotel Butik Amamas di Kuching, semalam.

KUCHING: Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal perlu mengambil kira kuasa autonomi Sarawak jika ia ingin diguna pakai di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, secara prinsipnya langkah itu adalah baik, namun Sarawak dan Sabah memiliki kuasa autonominya sendiri.

“Ia tidak (terpakai) kerana kita perlu meminda Perlembagaan Negeri di mana kita ada autonomi kita sendiri,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Hotel Butik Amamas di RH Plaza di sini, semalam.

Abang Johari berkata, bagi Sarawak ia juga perlu diteliti terlebih dahulu, selain dibincang dengan semua parti politik Sarawak.

“Kita perlu melihat bagaimana pandangan dan saya kena berbincang dengan semua parti politik untuk mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu,” katanya.

Kelmarin, ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik.

Ditanya mengenai mesyuarat berhubung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Abang Johari berkata, ia hanya seminar mengenai RMK11.

“Ia seminar dan hanya ada beberapa penambahbaikan atau pengubahsuaian sahaja oleh kerajaan baharu dan beliau (Perdana Menteri) berjanji akan meneruskan (projek) untuk Sarawak serta Sabah dan saya harap ia akan dilakukan kerana sekarang banyak projek telah dibatalkan,” tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari mahu pemain industri pelancongan meneroka sektor pelancongan kesihatan dan alam semula jadi.

Beliau berkata, Sarawak telah menunjukkan trend pelancongan kesihatan yang menggalakkan terutama daripada Indonesia yang datang mendapatkan perubatan di hospital-hospital swasta di bandar raya Kuching.

“Ramai pelancong dari Indonesia datang mendapatkan rawatan perubatan di Pusat Perubatan Pakar Timberland, Borneo Medical Center dan KPJ,” katanya.

Beliau berkata, 70 peratus daripada 4.8 juta ketibaan pelancongan pada tahun lepas ke Sarawak adalah dari negara-negara ASEAN.

Manakala, selebihnya adalah daripada Eropah dan China yang menunjukkan peningkatan.

  • oleh
  • Advertisement