Anda di sini

MLM 2018 kembali dengan komedi lebih unggul mulai 2 November ini

Advertisement
 

MAHARAJA Lawak Mega 2018 (MLM 2018), sebuah program persembahan komedi yang paling dinantikan oleh para peminat lawak di rantau ini bakal membuka tirai pada setiap hari Jumaat bermula 2 November ini.

Seramai 14 barisan peserta yang akan menjayakan MLM 2018 pada kali ini yang terdiri daripada peserta solo; Dany Beler dan Hilmy Ashley, peserta duo; kumpulan Taman, Shiro, Puteh dan 2B serta peserta trio; kumpulan Bocey, Abata, Joras, Kiut, Masin, Abioso, Zero dan Chilok.

Menurut Ketua Kandungan Strategik (Komedi), Namanzee Harris dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Astro kelmarin, untuk penganjuran musim ke-7 ini mereka sekali lagi berjaya menghimpunkan bakat-bakat komedi terhebat dari Malaysia, Indonesia dan Singapura.

“Ada yang boleh dianggap senior dalam kalangan pelawak dan ada juga muka baharu yang terlibat dalam edisi kali ini. Sungguhpun begitu, kesemua mereka mempunyai pengalaman beraksi di pentas besar sebelum ini dan setiap daripada mereka mempunyai identiti tersendiri dalam persembahan lawak yang dipentaskan.

“Kepelbagaian ini dirai dan pastinya saingan sengit dapat kita saksikan dalam pertarungan kesemua peserta dalam merebut gelaran juara MLM 2018,” katanya.

“Besar harapan kami agar MLM 2018 dapat merekodkan kejayaan yang lebih hebat daripada pencapaian musim-musim terdahulu. Sokongan padu daripada pelbagai pihak terhadap program ini menyuntik semangat kami untuk terus komited dalam mengangkat industri komedi ke tahap yang lebih tinggi.

Tambah beliau, “Maharaja Lawak Mega kini umpama dream stage buat pelawak-pelawak di rantau ini di mana penyertaan mereka dalam program ini telah membuka pintu kepada mereka untuk memperkembangkan bakat jenaka yang ada kepada lebih ramai orang dan seterusnya melebarkan kerjaya seni masing-masing melepasi sempadan negara.”

Mula bersiaran pada tahun 2011, program realiti pertandingan komedi Maharaja Lawak Mega menggabungkan barisan pelawak terbaik dari Malaysia, Singapura dan Indonesia serta menyaksikan mereka membuat persembahan komedi berdasarkan tema mingguan yang diberi dalam usaha merebut takhta juara Maharaja Lawak Mega.

Kesemua mereka akan diadili oleh barisan juri dan penonton sebelum peserta dengan jumlah markah terendah disingkirkan daripada pertandingan.

Dengan rating tertinggi dicatat sebanyak 4.7 juta dan lebih 29 juta jumlah tontonan di platform digital, program Maharaja Lawak Mega mencatat sejarah pada tahun lalu apabila menjadi program lawak nombor satu di Malaysia.

Bukan itu sahaja, video MLM 2017 juga menjadi antara video paling popular di platform Youtube Malaysia.

Maharaja Lawak Mega 2018 menerima kehadiran muka baharu yang juga merupakan finalis Gegar Lawak iaitu kumpulan Kiut, Abata dan 2B.

Pertandingan komedi yang berlangsung pada awal Januari tahun ini menyaksikan Kiut menjulang trofi juara, Abata pula menduduki tempat ketiga dan 2B di tempat kelima.

Dany Beler dan Hilmy Ashley, dua peserta solo yang baru pertama kali beraksi di pentas MLM pernah menyertai sebuah program pertandingan komedi paling popular di Indonesia di mana Dany berjaya menduduki tempat ketiga.

Dalam pada itu, Hilmy yang juga merupakan personaliti televisyen merupakan satu-satunya peserta dari Malaysia yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 30 peserta terbaik, daripada ribuan penyertaan dalam pertandingan tersebut.

Antara tema persembahan mingguan pada musim ini adalah percutian, duit, muzikal, loghat & dialek, dikir barat, parodi, kenangan, mata pelajaran sekolah dan pelbagai lagi.

Kepelbagaian tema yang ditonjolkan setiap musim untuk melatari imej keseluruhan MLM pada musim tersebut diteruskan dengan pemilihan tema Circus atau sarkas pula untuk penganjuran pada tahun 2018 ini.

Tema ini dipilih kerana acap kali kita lihat mereka yang terlibat dengan sarkas memiliki karakter yang penuh warna-warni, amat unik dan tersendiri, namun pada masa yang sama memiliki satu misi seragam iaitu menghiburkan penonton. Penganjuran MLM dari tahun ke tahun bertunjangkan misi tersebut iaitu menghiburkan penonton.

Anak seni yang cukup versatil, Dato AC Mizal buat sekian kalinya diberi tanggungjawab untuk menjayakan MLM 2018 selaku Pengacara.

Manakala, meneruskan tradisi pengenalan barisan juri Maharaja Lawak Mega seperti musim-musim sebelumnya, pemilik tiga kerusi juri tetap hanya akan diumumkan secara eksklusif pada siaran langsung minggu pertama MLM 2018 kelak.

Daripada segi format pemarkahan pula, 70% jumlah pemarkahan akan diberikan oleh barisan juri manakala 30% daripada undian penonton melalui aplikasi TikTok dan akan dibuka secara rasmi pada 2 November 2018 jam 10.00 malam.

Juara akan membawa pulang RM500,000 dan trofi, Naib Juara (RM250,000 dan trofi), Tempat Ketiga (RM150,000 dan trofi), Tempat Keempat (RM50,000 dan trofi) manakala Tempat Kelima (RM15,000 dan trofi).

OPPO, jenama telefon pintar ke-4 terbesar di dunia, dan KFC, rangkaian makanan segera nombor satu di Malaysia, merupakan Penaja Utama MLM 2018. Adabi, syarikat penghasilan produk makanan baharu dan inovatif, hadir sebagai Penaja Bersama.

TikTok, aplikasi kongsian video pendek popular, merupakan Platform Rasmi Undian Online bagi barisan peserta Maharaja Lawak Mega 2018.

SINAR pula bertindak selaku Radio Rasmi manakala Gempak, portal berita hiburan terkini, dan Astro Circle yang membawakan pelbagai hadiah eksklusif buat penonton merupakan Rakan Digital bagi MLM 2018.

Persembahan komedi 14 barisan pelawak dalam Maharaja Lawak Mega 2018 akan bersiaran secara langsung pada setiap Jumaat bermula 2 November 2018, jam 10.00 malam selama 12 minggu berturut-turut di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Untuk tontonan di platform digital, MLM 2018 boleh dinikmati menerusi aplikasi Astro GO dan on demand.

Advertisement