Anda di sini

Had dua penggal PM, MB dan KM tidak terpakai di Sarawak, perlu pinda perlembagaan negeri

Abang Johari ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan sebuah hotel di sini, hari ini
Abang Johari ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan sebuah hotel di sini, hari ini.

KUCHING: Cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal tidak terpakai di Sarawak, sekiranya ia diluluskan di Parlimen.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia kerana Sarawak mempunyai autonominya sendiri selain perlu meminda Perlembagaan Negeri terlebih dahulu.

"Secara prinsipnya ia adalah langkah yang baik..tetapi Sarawak ada autonomi sendiri dan begitu juga Sabah ada autonominya.

"Ia tidak (terpakai) kerana kita perlu meminda Perlembagaan Negeri dimana kita ada autonomi kita sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sebuah hotel butik di sini, hari ini.

Bagi Sarawak kata Abang Johari, ia harus diteliti terlebih dahulu selain mendapat perbincangan daripada semua parti politik Sarawak.

"Kita perlu melihat bagaimana pandangan dan saya kena berbincang dengan semua parti politik untuk mendapatkan pandangan mereka terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah reformasi politik pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuklah mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal.

"Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri akan dihadkan kepada dua penggal.

"Perdana menteri juga tidak akan memegang portfolio lain," kata Dr Mahathir.