Anda di sini

Guna dadah: Pesalah berulang kena enam tahun dan satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang pesalah berulang dikenakan penjara enam tahun dan satu sebatan, oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan menggunakan dadah.

Euliam Kimus, 33, dijatuhkan hukuman itu oleh hakim Azreena Aziz selepas mengaku salah mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dihukum mengikut Seksyen 39 C (2) akta sama.

Sabit salah, boleh dikenakan penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tidak melebihi enam sebatan.

Tertuduh didapati menggunakan dadah jenis Methaphetamine dan Amphethamine, pada 30 Mac jam 2 petang di lokap berpusat Kepayan, di sini.

Berdasarkan fakta kes yang dibaca, tertuduh ditangkap polis pada 29 Mac di hadapan sebuah restoran makanan laut, di sini, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah.

Semasa memberikan keterangan kepada polis, tertuduh menyerahkan Kad IMM13 dan menyatakan secara lisan mengenai maklumat diri.

Pada 30 Mac, polis melakukan ujian saringan kencing terhadap tertuduh dan didapati positif dadah.

Sampel kencing dihantar ke makmal patologi, hasil ujian mendapati tertuduh positif dua jenis dadah terbabit.

Sementara itu, pemeriksaan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) , mengesahkan maklumat yang diberikan tertuduh tiada di dalam sistem.

Semasa rayuan, Euliam yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan kerana perlu menjaga isterinya yang mengandung anak pertama mereka.

Namun Timbalan Pendakwaraya Husna Abd Halim menegaskan bahawa tertuduh bukan pesalah pertama.

“Tertuduh mempunyai dua kesalahan lampau atas salah guna dadah, kini menjalani hukuman atas kesalahan mencuri mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“ Selain itu, tertuduh pernah disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah masuk) dan Seksyen 411 kanun sama (menerima harta curi),” katanya.

Tambahnya tertuduh bukan seorang warga negara dan memohon dirujuk ke Jabatan Imigresen, setelah tamat tempoh hukuman.

  • oleh
  • Advertisement