Anda di sini

Sabah dan Sarawak diberi keutamaan baki pelaksanaan RMK11 - Dr Mahathir

Advertisement
DR MAHATHIR MOHAMAD
DR MAHATHIR MOHAMAD
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa pembangunan di Sabah dan Sarawak akan diberikan keutamaan bagi memastikan kedua-dua negeri itu berpotensi untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Beliau berkata bagi mencapai matlamat itu, kerajaan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan ​​(PH) akan mengoptimumkan segala sumber asli serta mengagihkan pendapatan minyak dan gas secara saksama mengikut perundangan sedia ada.

“Satu Jawatankuasa Khas Kabinet telah ditubuhkan untuk mengkaji semula serta memantau pelaksanaan yang wajar bagi Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11( RMK-11) (2016-2020), Keutamaan dan Penekanan Baharu di Dewan Rakyat di sini.

Perdana Menteri berkata kerajaan melalui pelaksanaan baki tempoh RMK11 –  iaitu dokumen dasar pertama kerajaan PH sejak memenangi Pilihan Raya Umum pada 9 Mei lepas, juga akan mempertingkatkan  kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah dan Sarawak bagi kemakmuran rakyat di negeri  itu.

Menurutnya kerajaan juga berhasrat untuk membina 7,000 unit rumah mampu milik serta menaik taraf 400 buah sekolah daif di Sabah dan Sarawak.

"Dari segi kemudahan kesihatan, tiga buah hospital akan dinaik taraf iaitu di Papar, Miri dan Lawas, katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga berhasrat untuk meningkatkan liputan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak melalui cadangan membina 106 menara telekomunikasi baharu dan menaik taraf 400 menara sedia ada.

Perdana Menteri juga menekankan kepentingan untuk memajukan tanah adat di kedua-dua negeri itu yang diyakini mampu untuk mewujudkan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan penduduk setempat.

"Oleh itu, kerjasama antara kerajaan negeri, agensi berkaitan, pemilik tanah dan pelabur akan dipertingkat. Aktiviti pengukuran dan pemetaan Hak Tanah Adat akan dilaksana bagi membolehkan tanah adat  dibangunkan,”  katanya.

Perdana Menteri berkata melalui baki tempoh pelaksanaan RMK-11 yang berakhir pada 2020, kerajaan akan menyediakan peruntukan pembangunan yang lebih saksama kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan pembangunan yang lebih setara di seluruh negara. 

Katanya sehubungan itu kerajaan akan memperkenalkan kembali agenda pembangunan wilayah yang seimbang sebagai keutamaan yang turut membabitkan peruntukan kewangan kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Dr Mahathir juga berkata sebagai kerajaan yang prihatin ke arah mewujudkan masyarakat yang saksama, kerajaan akan berusaha memperkasa kumpulan minoriti menerusi program khusus yang akan dilaksanakan bagi suku kaum Sabah dan Sarawak termasuk orang asli di kawasan luar bandar serta pedalaman.

"Antara inisiatif yang akan dilaksana termasuk penawaran lebih banyak program dan peluang pendididkan, latihan kemahiran dan keusahawanan,” katanya. - BERNAMA

Advertisement