Anda di sini

Kajian Separuh Penggal RMK11 dokumen komprehensif mereformasi negara - Dr Mahathir

 Keutamaan dan Penekanan Baharu di Parlimen hari ini.
 - Gambar Bernama.
Dr Mahathir tiba bagi mengemukakan usul mengenai Kajian Separuh Penggal RMK11, 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu di Parlimen hari ini.
 - Gambar Bernama.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad  hari ini membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) (2016-2020), yang disifatkannya sebagai dokumen komprehensif dalam mereformasikan negara dan memastikan agenda pembangunan negara di landasan terbaik.

Beliau berkata KSP RMK11 yang juga merupakan dokumen dasar pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak memenangi Pilihanraya Umum pada 9 Mei lepas, mampu memastikan Malaysia mencapai status negara maju dan inklusif selaras dengan aspirasi Wawasan 2020 – wawasan yang dililhamkannya  semasa membentangkan RMK6 pada 1991.

"Dokumen ini memperlihatkan anjakan pemikiran berkaitan pembangunan. Kita tidak lagi melihat pembangunan mengikut ​​​​ukuran pertumbuhan ekonomi atau keluaran dalam negara kasar (KDNK) semata-mata.

"Kita melihat pembangunan dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat dan pembangunan perlu dinikmati oleh semua rakyat  atau 'shared prosperity',” katanya semasa membentangkan usul mengenai KSP RMK11 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata dasar baharu itu akan memastikan tidak wujud jurang pendapatan yang terlalu lebar antara miskin dan kaya antara kaum dan suku kaum.

"Tidak harus ada golongan yang merasakan mereka terpinggir dari arus perdana pembangunan. Pembangunan juga tidak boleh meninggalkan negeri atau wilayah tertentu di belakang," katanya.

Perdana Menteri berkata pembangunan dalam erti kata sebenar perlu menyumbang kepada pembangunan bangsa Malaysia dan pertumbuhan ekonomi berterusan serta bebas dari cengkaman politik.

Beliau berkata melalui baki pelaksanaan tempoh RMK-11, kerajaan PH menggariskan keutamaan dan penekanan baharu berkaitan falsafah, dasar dan strategi pembangunan  negara yang diyakini seiring dengan aspirasi rakyat dan azam kerajaan.

Perdana Menteri berkata dokumen itu juga membuat anjakan dan penyesuaian ke atas dasar dan strategi jangka sederhana dan menilai pencapaian dalam tempoh 2016-2017 selain menyemak semula sasaran, strategi dan inisiatif bagi baki tempoh 2018-2020.

Beliau berkata bagi tempoh dua tahun ini, kerajaan akan mempergiatkan  usaha untuk meningkatkan daya tahan asas ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dengan keutamaan dan penekanan baharu berasaskan Enam Tonggak.

Enam tonggak itu adalah mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam; memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat; menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang; memperkasa modal insan; mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau; dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Dr Mahathir berkata semua strategi yang dibentangkan itu semata-mata untuk memperkukuh ekonomi, institusi awam dan tadbir urus kerajaan dengan harapan dapat menebus maruah negara dan dihormati dunia.

"Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik-etnik lain yang semua bernaung di bawah langit Malaysia. 

"Kita mahu Malaysia yang bersatu padu. Kita mahu rakyat Malaysia berjaya dan menikmati kekayaan negara. Saya mengajak semua rakyat Malaysia menggalas tanggungjawab ini," katanya.

Perdana Menteri berkata jika semua yang terkandung dalam dokumen itu dilaksanakan, beliau yakin Malaysia "akan mengaum kembali sebagai Harimau Asia" dan imej negara akan bertukar dari sebuah negara kleptokrat kepada sebuah negara demokrasi tulen dengan kerajaan yang bersih, luhur dan berintegriti.

Katanya, rakyat Malaysia di seluruh pelusuk dunia juga boleh berbangga untuk memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia.

Dr Mahathir turut menaruh harapan supaya golongan muda yang menjadi warisan negara dapat mempelajari segala ilmu, mendapatkan segala kemahiran, perkukuh jati diri, berpegang teguh kepada agama dan nilai murni dan menolak rasuah sekeras-kerasnya.

"Sebahagian besar generasi saya telah pergi. Kepada siapa akan kami tinggalkan nasib bangsa dan negara ini, kalau tidak kepada generasi muda.

“Ayuh, marilah kita semua berganding bahu dan bersatu untuk mencipta masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” kata Dr Mahathir mengakhiri ucapannya selama satu jam.

Usul itu kemudiannya disokong oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - BERNAMA