Anda di sini

Tekong didenda RM10,000, benarkan migran berada atas bot

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang tekong tempatan dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan membenarkan dua migran haram berada di atas bot miliknya.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Kasme Hussin, 35, yang diwakili peguam Dominic Chew selepas mengaku salah.

Kesalahan dilakukan pada 8 Jun jam 1 petang, di atas sebuah bot di perairan Pulau Mengalum, di sini.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), dihukum mengikut Seksyen 55 E (3) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara selama tempoh 12 bulan, atau kedua-duanya bagi setiap migran haram.

Berdasarkan fakta kes, pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memeriksa bot berkenaan pada hari dan di tempat yang sama.

Hasil pemeriksaan menemukan dua migran yang tidak mempunyai dokumen diri, masing-masing berusia 28 tahun dan 31 tahun.

Siasatan lanjut mendedahkan, tertuduh sebagai pemilik bot membenarkan dua lelaki terbabit masuk dan berada di atas bot.

Semasa rayuan, Dominic menyatakan anak guamnya sudah berkahwin perlu menanggung tiga anak yang masih kecil.

"Mohon denda minimum dikenakan, tertuduh juga menyatakan sudah menyesal. Selain itu, pihak kami memohon bayaran dibuat secara ansuran," katanya.

Azreena mengenakan Abdul Kasmie denda sebanyak RM5,000 atau penjara tiga bulan, untuk setiap migran haram.

Beliau memerintahkan tertuduh membayar RM5,000 pada Selasa (tarikh sabitan), selebihnya dilangsaikan sebelum 7 Disember.

Pegawai Pendakwa Leftenan Mohd Nasrul Md Noor melakukan pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement