Anda di sini

Pinanak Sentah mahu lebarkan sayap ke persada antarabangsa

Advertisement
 Pinanak Sentah berhasrat dapat menjadi dorongan kepada anak-anak muda khususnya dari Borneo untuk mengekalkan minat dalam muzik rentak tradisional dan moden, yang digabungkan menjadi muzik hutan hujan.
SEMAKIN DIKENALI: Pinanak Sentah berhasrat dapat menjadi dorongan kepada anak-anak muda khususnya dari Borneo untuk mengekalkan minat dalam muzik rentak tradisional dan moden, yang digabungkan menjadi muzik hutan hujan.

KUCHING: Berkonsepkan muzik hutan hujan (Rainforest), Pinanak Sentah kini mengintai tawaran untuk membuat penampilan bukan sahaja di Semenanjung Malaysia, bahkan luar negara.

Dianggotai anak bersaudara dari keturunan Sentah (Gunung Sentah di Siburan), kumpulan ini sudah mula dikenali di Bumi Kenyalang menerusi penglibatan dalam beberapa acara muzik bertaraf antarabangsa.

Pencapaian Pinanak Sentah pada tahun ini adalah terlibat dalam Rainforest World Music Festival (RWMF) 2018 dengan membuat persembahan di atas pentas ‘The Big Tent’ serta menjuarai pertandingan Serenading The Moon#Battle Of The Band 2018 yang dianjurkan sempena 17th Kuching Intercultural Mooncake Festival 2018.

Selain itu, kumpulan ini juga pernah terlibat dalam Waterfront Music Festival 2016 dan 2017, Harvest Festival 2017, Waterfront Night Live, Rainforest Fringe Festival 2018 dan What About Kuching (WAK) 2017 dan 2018.

“Kami berharap diberi peluang untuk membuat persembahan dengan membawa rentak tradisional bergabung dengan rentak moden di luar Sarawak mahupun di luar Malaysia,” kata pengurus Pinanak Sentak, Dantee Temik selain turut berharap diberi peluang sekali lagi untuk terlibat dalam RWMF 2019.

 Pinanak Sentah ketika membuat persembahan dalam beberapa acara muzik bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Sarawak.
HEBAT: Pinanak Sentah ketika membuat persembahan dalam beberapa acara muzik bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Sarawak.

Menurut Dantee, Pinanak Sentak ditubuhkan pada tahun 2014 dan mula aktif pada tahun 2016, adalah didorong oleh minat mereka dalam muzik serta hasrat untuk mengekalkan muzik tradisional Borneo, dengan menggabungkan rentak moden dan tradisional.

Justeru dengan melebarkan lagi nama ke persada antarabangsa, kumpulan tersebut berhasrat dapat menjadi dorongan kepada anak-anak muda khususnya dari Borneo untuk mengekalkan minat dalam muzik rentak tradisional dan moden, yang digabungkan menjadi muzik hutan hujan.

Anggota kumpulan Pinanak Sentah adalah terdiri daripada Ethaniel Telon Dantee, 18, (Sape/ seruling), Ethania Shana Dantee, 16, (gitar Bass), Emmanuel Kurian Dantee, 11, (Djembe), Eric Loi, 18, (Gitar/ Seruling), Alex Loi, 14, (Drum), Natalina Travis, 13, (Jatung Utang), Rick Hilary Dickson, 22, (Keyboard) dan Stanley Brian Lucas, 18, (Bedok).

  • oleh
  • Advertisement