Anda di sini

Perniagaan baharu di Malaysia tidak inovatif

Advertisement
 Realiti Berbeza’ di Mercu UEM di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama
BERTUKAR PENDAPAT: (Dari kiri) Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Research Institute Datuk Hisham Hamdan, Pemegang Amanah Khazanah Research Institute Dr Nungsari Ahmad Radhi, Pengarang Utama Keadaan Isi Rumah 2018 Allen Ng, Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute Dr Suraya Ismail dan Junaidi Mansor ketika mengadakan sesi dialog semasa pelancaran penerbitan ‘Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza’ di Mercu UEM di Kuala Lumpur semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perniagaan baharu di Malaysia tidak inovatif, menurut Institut Penyelidikan Khazanah dalam laporan ‘Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza’ yang dilancarkan semalam.

Keadaan ini berlaku walaupun peratusan purata firma yang dipacu oleh peluang perniagaan adalah lima kali ganda daripada peratusan purata firma yang dipacu oleh keperluan pasaran, lebih tinggi daripada ekonomi maju.

Menurut laporan bagi 2011 hingga 2017 itu, hanya 16 peratus perniagaan baharu memperkenal produk baharu, atau separuh daripada yang dilaporkan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Perniagaan baharu dalam negara tidak inovatif. Ini perlu diberikan perhatian oleh rakyat Malaysia selain meneroka peluang baharu berdasarkan perniagaan yang mampu memacu inovasi.

“Keusahawanan yang dimanfaatkan sebaik-baiknya, boleh memainkan peranan penting dalam mentransformasi negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan yang lebih maju.

“Walaupun negara sukar untuk menjangka sepenuhnya arah perubahan, Malaysia boleh memudahkan dan menyokong aktiviti keusahawanan melalui beberapa langkah termasuk kewangan, mengurangkan kos dan kegagalan yang merupakan stigma dalam kalangan masyarakat.

Laporan itu turut menyatakan kerenah birokrasi dan kos memulakan perniagaan telah berkurangan selama ini daripada 13 hari pada 2010 kepada 5.5 hari pada 2016.

Walaupun Malaysia setanding dengan negara jiran seperti Thailand dan Vietnam, Malaysia masih jauh ketinggalan daripada negara maju dan membangun.

Bagi dana penyelidikan dan pembangunan (R&D), ia masih ketinggalan berbanding negara-negara berpendapatan tinggi seperti Jepun dan Korea Selatan atau purata Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi.

Menurut laporan itu, inovasi memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang dan R&D menjadi petunjuk utama dalam mencipta pengetahuan dan aktiviti inovatif pelaburan.

“Penjanaan bagi R&D merupakan elemen penting dalam inovasi iaitu 1.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar pada 2015. R&D juga adalah suatu kebiasaan bagi kebanyakan syarikat besar, terutama pengeksport dan pengeluar produk kimia,” katanya.

Laporan Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza merupakan penerbitan ketiga kepada koleksi Keadaan Isi Rumah oleh Khazanah Research Institute.

Laporan itu bertujuan untuk berkongsi perspektifnya mengenai perubahan trend ketaksamaan, selain berkongsi dapatannya mengenai tenaga kerja buruh di Malaysia, dan langkah-langkah yang diperlukan untuk meningkatkan ekonomi negara.

Laporan itu dilancarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Ridza Ridzuan di sini semalam. — Bernama

Advertisement