Anda di sini

Perincian penambahbaikan pengangkutan awam di peringkat akhir

Advertisement
PETER beramah mesra dengan para penumpang dari luar negara.
PETER beramah mesra dengan para penumpang dari luar negara.

PAPAR: Kementerian Pembangunan Infrastruktur kini dalam peringkat akhir memperincikan keperluan penambahbaikan dan meningkatkan infrastrukur pengangkutan awam di Sabah, khususnya kereta api.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata, perincian itu penting bagi memastikan imej pengangkutan awam di Sabah setanding dengan kemudahan di ibu negara.

"Sudah tiba masanya Sabah melakukan perubahan dari segi perkhidmatan pengangkutan kereta api yang lebih efisien bagi memberi kemudahan kepada seluruh rakyat termasuk di pantai timur dan barat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau infrastruktur perkhidmatan kereta api negeri Sabah di Kinarut, di sini pada Sabtu.

Peter berkata, pembinaan struktur pagar di sepanjang laluan kereta api berhampiran penempatan bagi laluan Tanjung Aru, Putatan, Kinarut, Papar, Beaufort dan Tenom perlu dilaksanakan.

"Ia bukan sahaja sebagai langkah keselamatan malah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan laluan kereta api dipagar dan dipasang palang bagi mengelak kejadian tidak diingini berulang," katanya.

Beliau dan rombongan turut berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki North Borneo Railway yang menjadi sejarah pertama kewujudan kereta api di Sabah sejak 1945 pada zaman pemerintahan British.

Beliau juga akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menjadikan perkhidmatan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) sebagai produk pelancongan yang boleh ditingkatkan lagi menerusi imej baharu JKNS yang dilihat lebih berdaya maju berbanding sebelum ini.

"Ini termasuklah program jelajah kereta api bagi penduduk tempatan selain pakej komersil yang diusahakan dengan kerjasama JKNS dan Pusat Peranginan Sutera Harbour," jelasnya.

Turut serta dalam rombongan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Rasinin Koutis, Pembantu Menteri Kewangan Kenny Chua, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur Dr Ismail Charles, Pengarah JKNS Melvin V Majanga, Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR) Ir Richard Jomiji, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ir Amarjith Singh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sutera Harbour (GSH Corporation Limited) Gilbert Ee.

  • oleh
  • Advertisement