Anda di sini

Pengurusan pekerja asing ditambah baik, tingkat kecekapan dan kurangkan karenah birokrasi

Advertisement
Amir (duduk, tengah) ketika hadir merasmikan Sesi Town Hall Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia anjuran Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Amir (duduk, tengah) ketika hadir merasmikan Sesi Town Hall Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia anjuran Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

KUCHING: Kerajaan bersetuju dengan cadangan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk menambah baik, sama ada dari sudut sistem atau pengurusan pekerja asing di negara ini, bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan karenah birokrasi.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Dato Amir Omar berkata antaranya adalah mewujudkan satu sistem permohonan pekerja asing iaitu dengan menyebarluaskan perkhidmatan Sistem ePermohonan Pekerja Asing (ePPAx) kepada semua negara sumber dan Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) untuk Bangladesh dibekukan. 

Selain itu, katanya adalah untuk membenarkan majikan menyambung permit pekerja asing yang berkhidmat lebih 10 tahun sehingga ke 13 tahun dengan levi sebanyak RM10,000 setahun bagi setiap pekerja asing.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan sedang mengkaji sistem pelbagai peringkat levi yang akan memberi kemudahan kepada majikan untuk menentukan jumlah pekerja asing yang mahu diambil bekerja.

"Sistem yang sedang dikaji ini berprinsip makin ramai pekerja asing yang digaji, makin tinggi levi dikenakan. 

"Dasar ini berjaya dilaksanakan di negara seperti Singapura yang mana kelonggaran untuk menggajikan pekerja asing dipertanggungjawabkan kepada syarikat, namun elemen mengawal oleh kerajaan adalah berdasarkan levi yang dikenakan. 

"Namun, perkara ini masih diperingkat kajian dan maklum balas daripada pemegang taruh," katanya ketika merasmikan Sesi Town Hall Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia anjuran Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Amir menambah kerajaan juga pada peringkat akhir dalam mempertimbangkan untuk melindungi pekerja asing di bawah satu skim perlindungan sosial yang sama seperti mana pekerja tempatan iaitu beralih daripada Akta Pampasan Pekerja 1952 kepada Akta Keselamatan Sosial 1969. 

"Ini perlu bagi mematuhi standard antarabangsa iaitu Konvensyen No. 19 mengenai Equility Treatment on Social Protection Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan juga memberi gambaran yang baik kepada negara yang mana sekarang ini diletakkan di bawah Tier 2 Watch List oleh Amerika Syarikat," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement