Anda di sini

NGO diminta bantu latih ‘lay counsellor’

Advertisement
 Wan Azizah menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
PERJELAS: Wan Azizah menjawab pertanyaan media selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) yang layak digesa tampil membantu kerajaan melatih seramai mungkin para kaunselor atau ‘lay counsellor’ bagi membantu memberi perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, peranan ‘ay counsellor’ sebagai sistem sokongan sosial dalam komuniti amat diperlukan bagi menampung kekurangan kaunselor dalam negara.

“Memang betul masalah tekanan hidup dan masalah mental semakin meningkat di negara kita dan kita memang memerlukan lagi banyak kaunselor, namun ada masalah kerana tidak ramai yang ambil jurusan kaunselor keluar menjadi kaunselor.

“Mungkin kerana kerja ini tidak menarik atau tidak ada ‘glamour’, “ katanya pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (BN-Batang Lupar) yang ingin tahu mengenai pemantauan yang dibuat Lembaga Kaunselor Malaysia terhadap peranan guru kaunselor di sekolah dan institusi pengajian tinggi dalam menangani kes tekanan jiwa dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti.

Dr Wan Azizah menjelaskan, kementerian memberi perhatian terhadap masalah mental di institusi pengajian tinggi dan sekolah termasuk masalah tekanan jiwa, mangsa buli dan penderaan.

“Bukan sahaja masalah tekanan jiwa, mangsa buli dan penderaan, mereka yang membuli juga perlu diberi kaunseling.

Saya baharu sahaja melancarkan satu program yang dibuat oleh NGO tentang buli dan bagaimana kita nak menanganinya.

“Kita ada para kaunselor anjuran Institut Sosial Malaysia yang memberi pendedahan asas mengenai apakah kaunseling dan psikologi kepada masyarakat, dan para kaunselor dan lay counsellor ini boleh dirangkumkan dan diberi latihan,” kata Dr Wan Azizah.

Menjawab soalan asal Rohani mengenai peranan Lembaga Kaunselor dalam menangani kes tekanan jiwa dan mental yang dilihat semakin meningkat di negara ini, beliau berkata ia berperanan memastikan perkhidmatan kaunseling profesional dilaksana mengikut standard ditetapkan dan latihan kepada kaunselor di institusi pengajian tinggi awam atau swasta adalah mengikut piawaian badan itu.

Sepanjang 2018, katanya, Lembaga Kaunselor menganjurkan lima bengkel berbentuk teori dan amali untuk mempertingkat kemahiran kaunselor dan menganjurkan dua seminar tentang kesedaran masalah kesihatan mental di peringkat kebangsaan iaitu di Sabah dan Putrajaya.

Dr Wan Azizah berkata, pada 1 Oktober lalu beliau melancarkan ‘Garis Panduan Perkhidmatan Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan’ yang dibangunkan Lembaga Kaunselor yang boleh dijadikan rujukan dalam pengendalian isu dalam keluarga seperti penderaan, keganasan rumah tangga, penceraian dan pengabaian. — Bernama

Advertisement