Anda di sini

Loew tersinggung dengan cemuhan pihak media Jerman

Advertisement
 Loew memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika menjalani sesi latihan sebelum perlawanan Liga Negara UEFA di antara Belanda dan Jerman di Amsterdam, pada 9 Oktober lalu. — Gambar AFP
PERLU TEGAS: Loew memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika menjalani sesi latihan sebelum perlawanan Liga Negara UEFA di antara Belanda dan Jerman di Amsterdam, pada 9 Oktober lalu. — Gambar AFP

BERLIN, Jerman: Media Jerman ‘menghentam’ jurulatih kebangsaan Jerman, Joachim Loew selepas pasukan bekas juara dunia itu dimalukan 0-3 oleh Belanda, sekali gus menyebabkan masa depan beliau semakin samar menjelang perlawanan menentang juara dunia baharu, Perancis, hari ini.

“Tidak ketika ini,” kata Loew pada satu sidang media selepas perlawanan apabila ditanya jika beliau masih menentukan masa depannya selepas tewas kepada Belanda Sabtu lepas, kekalahan terburuk mereka kepada Belanda.

“Ia adalah kekalahan teruk dan mengecewakan, terutama sekali kerana kami telah mengawal permainan pada 30 minit pertama,” kata Loew di mana kontrak beliau hanya berakhir pada 2022.

Kedudukan mungkin 4-0 jika rembatan Memphis Depay tidak terkena palang pada minit akhir ketika pertahanan Jerman ‘roboh’ pada 10 minit terakhir.

Jika Jerman tewas kepada Perancis pada perlawanan di Paris hari ini, ia bermakna ia adalah rekod kekalahan keenam Jerman pada kalendar satu tahun.

Selepas membimbing Jerman muncul juara dunia 2014, Loew berasa tersinggung apabila ditanya jika kekalahan terburuk itu adalah perlawanan ke-168 dan terakhir beliau bersama Jerman.

Loew baharu menandatangani kontrak baharu sehingga 2022 bersama Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) pada bulan Mei, namun melainkan nasib pasukan berubah, kedudukan beliau mungkin tidak dapat dikekalkan.

Selepas kempen buruk di Piala Dunia 2018 di mana Jerman tersingkir di pusingan pertama dan berada di tangga terbawah kumpulan, Loew sekali lagi mendapati pasukannya berada di tangga teratas kumpulan dalam Liga Negara UEFA (UNL).

Jerman harus menang dua perlawanan terakhir kejohanan, bermula dengan menentang Perancis hari ini dan Belanda di Gelsenkirchen pada 19 November atau tersingkir dari kumpulan.

Kedudukan Loew kelihatan selamat sehingga perlawanan menentang Belanda dalam tempoh lima minggu lagi.

“Ia jelas pasukan akan mengalami kesan selepas Piala Dunia,” kata Presiden DFB, Reinhard Grindel.

“Apa yang penting ialah terus bersatu sebagai pasukan dalam dan luar padang.

“Kami pastinya mahukan keputusan yang lebih baik tetapi kita harus melihat ke hadapan dan memberikan fokus kepada perlawanan menentang Perancis Selasa ini dan perlawanan menentang Belanda pada bulan November.”

Akhbar-akhbar utama Jerman bagaimanapun tidak mempunyai pandangan yang sama.

“Markah paling rendah untuk Loew! Naik berang selepas soalan tentang masa depannya sebagai jurulatih,” tulis akhbar paling laris Jerman, Bild.

Majalah bola sepak, Kicker, menjelaskan bahawa walaupun janji Loew untuk permulaan baharu, tiada banyak yang berubah.

“Permulaan baharu? Pasukan Loew meneruskan cerita yang sama di Piala Dunia.

“Selepas kekalahan 0-3, pasukan Jerman bergelut mengelak penyingkiran. Ini bukan kekalahan biasa tetapi akibat dari beberapa kesilapan.

“Ia dibangkitkan sekali lagi – persoalan tentang masa depan Loew.”

Beberapa lagi akhbar utama Jerman juga mengeluarkan kritikan yang sama. — AFP

Advertisement