Anda di sini

Kurangkan kemalangan industri

Advertisement
KAMAL menyampaikan cenderahati kepada Moira selepas Majlis Perasmian Konvensyen Perburuhan Sabah 2018.
KAMAL menyampaikan cenderahati kepada Moira selepas Majlis Perasmian Konvensyen Perburuhan Sabah 2018.

SANDAKAN: Kementerian Sumber Manusia telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan kemalangan industri kepada 2.53 bagi setiap 1,000 pekerja di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2016-2020.

Di bawah pelan itu, kementerian juga menyasarkan pengurangan kadar kematian perindustrian kepada 4.36 bagi setiap 100,000 pekerja.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata Program Persidangan dan Pameran ke-21 Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH) 2018 yang dianjurkan baru-baru ini membincangkan perkembangan terkini dalam bidang KKP agar mereka yang terlibat mampu menghadapi cabaran di tempat kerja.

"Mengenai cabaran akan datang, kita perlu melihat Revolusi Perindustrian yang kini telah memasuki peringkat keempat atau lebih dikenali sebagai IR4.0 di mana evolusi sistem komputer dan proses automasi berlaku dengan pesat.

"IR4.0 juga merupakan era Internet-of-Things (IoT) di mana peranti pintar saling berhubungan melalui internet.

"Kita tidak mempunyai pilihan selain menerima teknologi terkini dan secara beransur-ansur membuang cara tradisional melaksanakan tugas dan pemantauan berkaitan KKP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Perburuhan Sabah 2018 di sebuah hotel di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pelajaran dan Inovasi Moira David.

Konvensyen itu merupakan salah satu inisiatif Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja Sabah dalam mengekalkan keharmonian industri di negara ini agar majikan, pekerja dan orang awak dapat mengetahui secara langsung mengenai isu-isu yang melibatkan perburuhan semasa.

Yusof berkata isu perburuhan adalah amat penting kerana ia merupakan salah satu key points kepada pembangunan sesebuah negara seterusnya mampu dilihat sebagai satu instrumen untuk mempertingkat ekonomi dan kestabilan sosial.

"Dengan pembentangan kertas kerja yang telah diatur, saya berharap peserta dapat menambah ilmu mengenai isu-isu perburuhan semasa negara kerana ia akan menjadi nilai tambah dalam urusan seharian sama ada sebagai majikan, pekerja mahupun pelajar.

"Menerusi pendedahan dan kefahaman mengenai dasar-dasar perburuhan negara dan undang-undang berkaitan, ia membolehkan keharmonian dalam industri akan terjamin yang melibatkan pelbagai pihak iaitu pemegang polisi, pelaksana, majikan, pekerja dan seterusnya masyarakat," jelasnya.

Sebanyak tujuh kertas kerja dibentangkan dalam konvensyen itu dengan topik seperti Dasar Perburuhan Negara, Dana Pembangunan Sumber Manusia, Perlindungan Sosial serta Peluang Pekerjaan, Isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Isu Hak Asasi Manusia.

Hadir sama, Pengarah JTK Sabah Kamal Pardi dan Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar Perburuhan, Kementerian Sumber Manusia Bashah Bachik.

  • oleh
  • Advertisement