Anda di sini

Kuching tuan rumah penganjuran AFHC Ke-8 pada 17-19 Oktober

Advertisement
 Mohamad Morshidi pada sidang media mengenai penganjuran Persidangan Global dan Perhimpunan Agung ‘Alliance for Health Cities’ Ke-8 semalam.
PROMOSIKAN KUCHING: Mohamad Morshidi pada sidang media mengenai penganjuran Persidangan Global dan Perhimpunan Agung ‘Alliance for Health Cities’ Ke-8 semalam.

KUCHING: Kuching akan menjadi tuan rumah penganjuran Persidangan ‘Global dan Perhimpunan Agung Alliance for Health Cities’ (AFHC) Ke-8 pada 17 hingga 19 Oktober ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata seramai 600 peserta daripada 10 negara telah mengesahkan penyertaan dalam persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

“Persidangan global ini adalah landasan untuk mempromosikan bandar raya Kuching sebagai destinasi pilihan pelancong selain mempromosikannya sebagai bandar raya sihat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau memberitahu, 10 negara yang bakal menyertai persidangan kali ini ialah Australia, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Macau, Oman, Singapura, Filipina, Taiwan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan AFHC Jepun.

Katanya selain perhimpunan agung, pelbagai forum dan aktiviti sampingan diadakan melibatkan para peserta.

“Delegasi diberi peluang memilih tapak untuk dilawat berdasarkan kepentingan tajuk dibincangkan.

“Pilihan mereka ialah Taman Sahabat Kuching, Pasar Komuniti Stutong, Lebuh India dan Kampung Budaya Sarawak,” katanya.

Beliau memberitahu, setiap negara yang menyertai persidangan kali ini akan diketuai datuk bandar masing-masing.

Tambahnya, pegawai dari Wilayah Pasifik Barat, Pengarah Wilayah WHO Dr Shin Young-Soo dan Pengarah WHO Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Lo Ying dijadual menyertai persidangan berlangsung selama tiga hari itu.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan persidangan ini pada 17 Oktober, jam 10.30 pagi,” katanya.

Advertisement