Anda di sini

Kes CEO Cradle Fund: Polis tunggu laporan penuh bedah siasat kedua

Advertisement
 Van yang membawa jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Allahyarham Nazrin Hassan kelihatan keluar dari Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara sebaik jenazah dikebumikan semula setelah selesai dibedah siasat buat kali kedua di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
SELESAI: Van yang membawa jenazah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd Allahyarham Nazrin Hassan kelihatan keluar dari Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara sebaik jenazah dikebumikan semula setelah selesai dibedah siasat buat kali kedua di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu laporan penuh bedah siasat kedua bekas CEO Cradle Fund Sdn Bhd Allahyarham Nazrin Hassan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata keputusan laporan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Proses bedah siasat itu selesai sepenuhnya semalam (kelmarin). Sekarang ahli patologi sedang menyiapkan laporan penuh dan akan selesai dalam masa terdekat.

“Selepas itu, baharu tindakan susulan akan dilakukan berdasar laporan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Terdahulu, jenazah Nazrin selamat dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 9, Kota Damansara pada jam 12.30 tengah hari semalam selepas melalui proses bedah siasat kedua selama lapan hari.

Jenazah yang tiba pada jam 11.35 pagi itu diiringi dua motosikal pengiring dan sebuah kenderaan polis.

Selasa lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, jenazah Nazrin akan dikebumikan semula Jumaat lepas selepas proses bedah siasat kali kedua itu dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas digali keluar pada Isnin lepas.

Bagaimanapun, proses bedah siasat itu mengambil tempoh lebih lama menyebabkan pengebumian semula itu terpaksa ditunda hingga semalam.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.  

Pada 3 Ogos lepas, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya, pada 14 Jun lepas yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya. — Bernama

Advertisement